Sabtu, 18 Mei 2019 | 9:54pm
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menolak konflik dan seterusnya perang dengan AS. -Foto Reuters
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menolak konflik dan seterusnya perang dengan AS. -Foto Reuters

Iran tolak perang, Bahrain halang rakyat ke Baghdad, Tehran

DUBAI: Diplomat atasan Iran hari ini menolak kemungkinan perang meletus di rantau itu, mengatakan Tehran tidak mahukan konflik dan tiada negara ‘boleh berilusi ia boleh mencabar Iran,’ lapor agensi berita IRNA.

Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran meningkat sejak beberapa hari lalu, menambah kebimbangan berhubung potensi konflik AS-Iran.

Awal minggu ini, AS mengundurkan beberapa kakitangan diplomatik dari kedutaan Iraq susulan serangan ke atas kapal tangkinya di Teluk.

“Tiada peperangan kerana kami juga menolak perang daripada meletus atau sesiapa juga memiliki idea atau ilusi ia dapat mencabar Iran di rantau ini,” kata Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif kepada IRNA sebelum menamatkan kunjungan ke China.

Presiden Donald Trump meningkatkan sekatan ekonomi dan menambah kehadiran tentera AS di rantau itu, menuduh Iran mengancam tentera AS dan kepentingannya.

Tehran menyifatkan langkah itu sebagai ‘perang psikologi’ dan ‘permainan politik.’

“Hakikat bahawa Trump secara rasmi mengatakannya dan mengulanginya lagi tidak bermaksud beliau mahukan peperangan, namun orang di sekelilingnya menggesa peperangan atas alasan mereka mahu menjadikan AS lebih kuat berbanding Iran,” kata Zarif.

Sementara itu, Bahrain memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke Iraq dan Iran serta meminta mereka yang berada di sana supaya pulang ‘segera’ untuk keselamatan diri, lapor agensi berita BNA.

Kementerian Luar Bahrain memetik ‘situasi tidak stabil serantau, perkembangan berbahaya dan ancaman potensi,’ kata BNA.

Amaran itu dikeluarkan di tengah ketegangan memuncak antara AS dan Iran. -Reuters

Berita Harian X