Rabu, 15 Mei 2019 | 4:34pm
Penyokong Parti Bharatiya Janata (BJP) bertempur dengan anggota polis di hadapan penghadang ketika berlangsungnya kempen yang dihadiri Presiden BJP, Amit Shah di Kolkata. Foto AFP
Penyokong Parti Bharatiya Janata (BJP) bertempur dengan anggota polis di hadapan penghadang ketika berlangsungnya kempen yang dihadiri Presiden BJP, Amit Shah di Kolkata. Foto AFP

Puluhan ditahan ketika kempen di Kolkata

KOLKATA: Pertelagahan antara pengikut Perdana Menteri Narendra Modi dan pemimpin pembangkang meningkatkan lagi ketegangan di sini, hari ini, menjelang fasa terakhir pilihan raya umum India.

Menurut laporan media, puluhan individu ditahan susulan pertempuran di jalanan semalam, yang memaksa Presiden Parti Bharatiya Janata (BJP), Amir Shah, meninggalkan lokasi kempen pilihan raya di Bengal Barat, di bawah kawalan polis.

Selain itu, patung tokoh pembaharuan Bengal, Ishwar Chandra Vidyasagar turut musnah dan kolej yang mengambil sempena namanya, turut digeledah dalam pertempuran itu.

Berikutan itu, BJP dan pencabarnya, Kongres Trinamool (TMC) menuding jari dan menyalahkan satu sama lain.

Negeri itu menyaksikan pelbagai insiden keganasan berlaku dalam tempoh enam minggu berlangsungnya pilihan raya, yang bakal berakhir Ahad ini.

Parti BJP berharap untuk menguasai 42 kerusi Parlimen yang sebelum ini dimiliki oleh TMC, bagi menutup kekalahan yang dijangka di beberapa wilayah lain.

Dalam pada itu, BJP menuduh Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, sebagai dalang serangan ketika berlangsungnya kempen jelajah yang dihadiri Shah di Kolkata.

Pemerhati politik India berkata, kempen agresif yang dilancarkan oleh parti pimpinan Modi terhadap TMC di Bengal Barat menyaksikan ia sebagai salah satu lokasi paling sengit dalam pilihan raya kali ini.

Modi mencatat kejayaan besar dalam pilihan raya pada 2014, tetapi beliau dijangka hilang majoriti yang diperolehnya.

Kejayaan mencatat keputusan yang baik di Bengal Barat diramal membantu beliau mengekalkan kuasa bagi penggal kedua. - AFP

Berita Harian X