Sabtu, 11 Mei 2019 | 6:51pm
Pegawai memeriksa lokasi letupan di Hotel Shangri-La Colombo, Sri Lanka, pada April lalu, yang didakwa didalangi militan Daesh. Foto Reuters
Pegawai memeriksa lokasi letupan di Hotel Shangri-La Colombo, Sri Lanka, pada April lalu, yang didakwa didalangi militan Daesh. Foto Reuters

Daesh dakwa berjaya tubuh wilayah di India

NEW DELHI/SRINAGAR: Daesh buat kali pertama mendakwa mereka berjaya menubuhkan ‘satu wilayah’ di India, selepas pertempuran antara pasukan keselamatan dan militan di Kashmir, mengakibatkan seorang militan terbunuh.

Agensi berita Amaq semalam, mengumumkan penubuhan wilayah baharu itu, yang dikenali sebagai ‘Wilayah Hind’.

Kenyataan itu turut mendakwa beberapa tentera India cedera dalam pertempuran di bandar Amshipora di wilayah Shopian, Kashmir.

Militan Daesh mengeluarkan kenyataan itu, selepas polis India semalam, berkata seorang anggota militan dikenali sebagai Ahmad Sofi maut dalam pertempuran di Shopian.

Sementara itu, Daesh mengeluarkan kenyataan berhubung penubuhan wilayah baharu itu, dipercayai bertujuan meningkatkan kedudukannya, memandangkan sebelum ini ia pernah menguasai banyak wilayah.

Malah, Daesh turut melancarkan lebih banyak serangan bom dan pengebom nekad, termasuk mengaku bertanggungjawab dalam insiden pada sambutan Hari Easter di Sri Lanka, mengorbankan sekurang-kurangnya 253 mangsa. - Reuters

Berita Harian X