Selasa, 16 April 2019 | 11:14am
Sebuah pesawat ringan merempuh sebuah helikopter yang berada di landasan, ketika cuba berlepas dari lapangan terbang Nepal di wilayah Everest. - Foto Reuters
Sebuah pesawat ringan merempuh sebuah helikopter yang berada di landasan, ketika cuba berlepas dari lapangan terbang Nepal di wilayah Everest. - Foto Reuters

3 maut, 4 cedera kemalangan pesawat di Nepal

LUKLA, Nepal: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan empat yang lain cedera apabila sebuah pesawat ringan merempuh sebuah helikopter yang berada di landasan, ketika cuba berlepas dari lapangan terbang Nepal di wilayah Everest.

Pegawai penerbangan, Raj Kumar Chhetri berkata, kemalangan itu berlaku ketika pesawat milik Summit Air cuba berlepas dari sini ke Kathmandu dan tergelincir di lapangan terbang lalu merempuh helikopter milik Manang Air.

Kedua-dua syarikat penerbangan persendirian itu membawa pelancong dan penduduk Nepal ke kawasan pedalaman di negara itu.

Jurucakap polis Nepal, Uttam Raj Subedi berkata, mangsa yang cedera diterbangkan ke Kathmandu menaiki helikopter.

Katanya, pasukan polis yang tiba di tempat kemalangan berusaha mengelak kebakaran di lapangan terbang itu.

Mereka yang terbunuh terdiri daripada juruterbang pesawat dan dua anggota polis yang berada berhampiran helikopter.

Seorang pegawai tempatan, Narendra Kumar Lama berkata empat penumpang dan seorang anak kapal terselamat.

Lapangan terbang itu kerap dirujuk sebagai paling berbahaya di dunia kerana landasan yang terlalu pendek dan sukar. Ia dibuka hanya untuk helikopter dan pesawat ringan dan terletak pada ketinggian 2,845 meter. - Agensi

Berita Harian X