Khamis, 11 April 2019 | 10:02am
Tinjauan pendapat meletakkan Modi, 68, sebagai pilihan namun beliau berdepan cabaran sukar bukan hanya satu tetapi dua anggota keluarga bangsawan dinasti Nehru-Gandhi yang mengambil kesempatan terhadap rekod buruk pengangguran dan kemiskinan luar bandar pentadbirannya. -Foto Agensi
Tinjauan pendapat meletakkan Modi, 68, sebagai pilihan namun beliau berdepan cabaran sukar bukan hanya satu tetapi dua anggota keluarga bangsawan dinasti Nehru-Gandhi yang mengambil kesempatan terhadap rekod buruk pengangguran dan kemiskinan luar bandar pentadbirannya. -Foto Agensi

Modi masih disukai, pilihan raya gergasi India 7 fasa bermula

NEW DELHI: Pilihan raya gergasi India, terbesar dalam sejarah, bermula hari ini dengan Perdana Menteri Narendra Modi menuntut penggal kedua pemerintahan daripada sejumlah 900 juta pengundi negara Asia Selatan itu.

Tinjauan pendapat meletakkan Modi, 68, sebagai pilihan namun beliau berdepan cabaran sukar bukan hanya satu tetapi dua anggota keluarga bangsawan dinasti Nehru-Gandhi yang mengambil kesempatan terhadap rekod buruk pengangguran dan kemiskinan luar bandar pentadbirannya.

Disebabkan saiz meluas India dan penduduknya yang ramai, pilihan raya itu akan diadakan dalam tujuh fasa, dari kawasan ladang teh di Darjeeling sehingga setinggan Mumbai ke kawasan tropika Kepulauan Andaman serta tempat lain di antaranya.

Pasukan keselamatan dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tinggi berikutan bahaya keganasan dengan lima orang termasuk seorang pembuat dasar terbunuh dalam serbuan oleh suspek pemberontak Mao minggu ini.

Ribuan parti dan calon akan bertanding merebut jawatan antara hari ini dan 19 Mei di 543 kawasan di negara dengan 1.3 bilion penduduk itu dan keputusan dijangka diterima pada 23 Mei.

Sesetengah daripada 1.1 juta mesin pengundian elektronik akan dihantar melalui kawasan hutan dan diangkut merentasi pergunungan termasuk perkampungan kecil berhampiran sempadan China, dengan hanya seorang pengundi.

Fasa satu hari ini menyaksikan kira-kira 142 juta keluar mengundi, termasuk 7,764 pengundi transgender, layak mendaftar buat kali pertama seterusnya mengundi.

Modi dan parti haluan kanan Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya berkuasa pada 2014 dengan janji popular ‘achhe din’ (hari baik), menjadi parti pertama menang majoriti penuh dalam tempoh 30 tahun.

Pengkritik berkata, BJP sejak itu mula melaksanakan agenda Hindu di India, memperkukuh serangan ke atas penduduk Islam dan kasta rendah Dalits dalam perdagangan lembu oleh kerana ia dianggap suci buat penganut agama itu, serta menulis semula buku teks sekolah.

Modi mempermudah kod cukai dan menjadikan urusan perniagaan lebih mudah namun sesetengah janjinya tidak ditepati, terutama di kawasan luar bandar di mana ribuan petani dibebani hutang membunuh diri sejak beberapa tahun lalu.

Pertumbuhan di negara ekonomi ketiga terbesar Asia itu terlalu perlahan untuk memberi pekerjaan kepada jutaan rakyatnya serta kadar pengangguran dilaporkan tertinggi sejak 1970-an.

Rahul Gandhi, 48, berharap menjadi perdana menteri terbaharu daripada dinastinya, dibantu adik perempuannya Priyanka, menuduh Modi mencetuskan ‘bencana negara.’

Parti Kongres pimpinan Gandhi mendapat manfaat daripada ketidakpuashatian pengundi, menang tiga pilihan raya utama negeri Disember lalu, mengambil alih pangkalan sokongan penting Modi di ibu kota bahasa Hindi di utara India.

Gandhi, cicit, cucu dan anak lelaki tiga perdana menteri terdahulu, semakin dihormati sejak dipersendakan dalam kabel diplomatik bocor Amerika Syarikat (AS) pada 2007 sebagai ‘sut kosong.’

Iklan pilihan raya menunjukkan beliau memeluk seorang petani wanita kurus, sementara manifesto Kongres yang berhaluan kiri berikrar menamatkan kemiskinan menjelang 2030 dan memberi pemindahan tunai kepada 50 juta keluarga.

Namun Modi dan kempennya disokong angkatan media sosial lengkap juga enggan kalah dan menjanjikan infrastruktur bernilai AS$1.4 trilion (RM5.73 trilion).

BJP berjanji komited membina kuil agung menggantikan masjid diruntuhkan samseng Hindu di bandar utara Ayodhya pada 1992. -AFP

Berita Harian X