Ahad, 7 April 2019 | 5:36pm
Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi. - Foto AFP
Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi. - Foto AFP

Pakistan dakwa India sedia lancar pencerobohan lain bulan ini

ISLAMABAD: Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi hari ini mendakwa kerajaannya mendapat sumber risikan boleh dipercayai bahawa India sedang merancang untuk melancarkan pencerobohan terhadap negaranya antara 16 dan 20 April ini.

Hubungan antara kedua-dua negara jiran mempunyai senjata nuklear dikatakan semakin merosot selepas serangan bom nekad di wilayah Kashmir ditadbir India pada Februari lalu hingga mengorbankan 40 anggota keselamatan India yang didakwa dilakukan kumpulan militan berpangkalan di Pakistan.

Namun, Pakistan menafikan sebarang peranannya dalam serangan itu dan Perdana Menterinya, Imran Khan menawarkan kerjasama untuk menyiasat sama ada terdapat bukti boleh dipercayai yang diberikan India.

Bercakap kepada wartawan di bandar Multan, selatan Pakistan, Qureshi berkata bahawa duta tetap anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Islamabad sudah dimaklumkan mengenai ‘rancangan’ terbabit pada dua hari lalu.

“Kami mempunyai sumber risikan boleh dipercayai bahawa India sedang melakukan skim baharu dan rancangannya sedang berjalan dan terdapat kemungkinan pencerobohan lain terhadap Pakistan dan menurut maklumat kami, tindakan ini akan berlaku antara 16 dan 20 April.

“Saya menyatakannya dengan tanggungjawab dan mempunyai kedudukan tanggungjawab, saya pasti setiap perkataan yang dinyatakan ini akan menjadi tajuk utama dalam akhbar antarabangsa,” katanya.

Katanya, pencerobohan dirancang itu bertujuan ‘meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Pakistan’.

Sehari selepas pengeboman di Kashmir, New Delhi yang sekian lama mendakwa Islamabad melindungi militan yang melancarkan serangan ke atas tanah airnya, sambil menuntut Pakistan mengambil ‘tindakan yang telus dan boleh dipercayai’. - AFP

Berita Harian X