Sabtu, 6 April 2019 | 7:40pm
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan. - Foto Reuters
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan. - Foto Reuters

India sengaja wujudkan histeria perang - Imran Khan

KARACHI: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyalahkan parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) kerana ‘menggalakkan histeria perang’ dengan mendakwa negara India berjaya menembak jatuh sebuah pesawat F-16 Pakistan, ketika pertempuran di Kashmir, Februari lalu, sambil menambah kebenaran adalah dasar terbaik.

Terdahulu, sebuah majalah di Amerika Syarikat (AS), Foreign Policy memetik beberapa pegawai negara itu sebagai berkata, semua jet pejuang F-16 Pakistan masih ada dan pengesahan itu bertentangan dengan dakwaan India.

“Kebenaran akan ditegakkan dan ia adalah dasar terbaik. Cubaan BJP untuk menang pilihan raya dengan memainkan sentimen perang dan dakwaan palsu hanya memakan diri sendiri,” kata Khan.

Negara berjiran kuasa nuklear itu terbabit dalam pertempuran udara di wilayah dipertikaikan Kashmir, sehari selepas dua jet India masuk ke Pakistan untuk menyerang kem militan anti India yang disyaki.

Sebuah jet India ditembak jatuh dan juruterbangnya ditahan, selepas berjaya melompat keluar di dalam sempadan Pakistan. Beliau kemudian dibebaskan.

India berkata, ia juga berjaya menembak sebuah pesawat Pakistan dan tentera udaranya mempamerkan serpihan peluru berpandu yang ditembak pesawat F-16, sebelum ia terhempas.

Dalam laporan yang diterbitkan, Khamis lalu, Foreign Policy memetik dua pegawai pertahanan AS yang mengetahui perkara itu sebagai berkata, tentera AS sudah mengira pesawat F-16 Pakistan dan mendapati tiada pesawat hilang. - Reuters

Berita Harian X