Isnin, 1 April 2019 | 11:06pm
Tentera India membalas tembakan di sepanjang sempadan de facto selepas Pakistan melakukan serangan waktu pagi di Kashmir, kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Devender Anand. -Foto Agensi
Tentera India membalas tembakan di sepanjang sempadan de facto selepas Pakistan melakukan serangan waktu pagi di Kashmir, kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Devender Anand. -Foto Agensi

2 termasuk budak perempuan 5 tahun maut di Kashmir

SRINAGAR: India dan Pakistan saling berbalas tembakan hari ini merentasi sempadan di Kashmir kata pihak berkuasa, menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan dan seorang askar maut dalam pertumpahan darah terbaharu di rantau pergunungan bergolak itu.

Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas bom mortar mendarat di rumahnya di Poonch, daerah di sebelah sempadan India yang menyaksikan pertempuran sengit antara dua negara.

Seorang jurucakap Pasukan Keselamatan Sempadan India yang mengawal sempadan dikawal ketat tentera berkata, seorang anggota mereka juga terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam serangan.

Tentera India membalas tembakan di sepanjang sempadan de facto selepas Pakistan melakukan serangan waktu pagi, kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Devender Anand.

Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada 2003 di sepanjang ‘Garisan Kawalan’ (LoC) yang membahagikan Kashmir ke dalam zon dikawal India dan Pakistan.

Namun perjanjian itu kerap dilanggar dan orang awam kedua-dua pihak sering terperangkap dalam pertembungan.

Kematian di Poonch berlaku beberapa jam selepas empat lelaki bersenjata terbunuh dalam pertempuran dengan tentera kerajaan di Pulwama, daerah sejauh 140 kilometer ke timur, hampir dengan bandar utama di sini. -AFP

Berita Harian X