Rabu, 27 March 2019 | 2:30pm

Roket Israel, Hamas ancam gencatan senjata

BAITULMAQDIS: Pejuang Palestin melancarkan roket ke arah Israel petang semalam mencetuskan serangan balas bertubi-tubi dari tentera negara itu, tindak balas yang dilihat bakal mengancam perjanjian damai.

Serangan itu berlaku selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan, beliau bersedia berdepan tindakan ketenteraan di Gaza, keadaan kritikal menjelang pilihan raya umum Israel 9 April depan.

Serangan terbaru bermula awal Isnin lalu ketika roket jarak jauh dilancarkan dari Semenanjung Gaza terkena sebuah rumah di utara Tel Aviv, mencederakan tujuh orang rakyat Israel.

Tentera Israel bertindak balas terhadap serangan itu dengan beberapa siri serangan udara di seluruh wilayah, menyebabkan pejuang Palestin melancarkan serangan balas tetapi tidak ada kecederaan dilaporkan.

Keadaan agak tenang sepanjang Selasa, dengan Hamas mendakwa Mesir sudah melanggar gencatan senjata, tetapi sebaik saja malam berlabuh, Israel mendakwa roket dilancarkan dari Gaza sekitar jam 8.00 malam.

Tentera Hamas, pejuang Islam dan kumpulan lain mendakwa ‘roket yang terkena kawasan Ashkelon adalah angkara individu dan kumpulan itu bersedia untuk bertenang asalkan selama Israel bersetuju.

“Tentera udara sudah menyerang beberapa sasaran pejuang Hamas di Gaza,” tulis tentera Israel di laman Twitter, semalam.

“Jika Hamas berfikir kami akan duduk diam ketika mereka melancarkan roket, bahan letupan dan menceroboh pagar sempadan Israel dengan mengancam nyawa orang awam, mereka silap.

“Jet pejuang kami dan pesawat udara menyerang balas beberapa sasaran Hamas di Gaza,” kata tentera itu lagi.

Sumber keselamatan di Gaza berkata, serangan udara itu terkena pangkalan udara Hamas di Khan Yunis.

Netanyahu, yang memendekkan lawatan ke Amerika Syarikat, terdahulu berkata mereka bersiap sedia berdepan lebih banyak serangan.

“Kami akan melakukan apa patut untuk mempertahankan rakyat dan negara kami,” katanya menerusi siaran langsung ketika menghadiri mesyuarat tahunan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel (AIPAC). - AFP

Berita Harian X