Selasa, 26 March 2019 | 6:53pm
Narendra Modi. - Foto Reuters
Narendra Modi. - Foto Reuters

Lebih separuh rakyat India berpuas hati dengan kerajaan Modi

NEW DELHI: Kebanyakan warga India berpuas hati dengan hala tuju negara itu dan prospek ekonomi untuk generasi yang akan datang, menurut tinjauan Pew yang diterbitkan beberapa minggu sebelum pilihan raya.

Kekurangan peluang pekerjaan adalah masalah terbesar India, kata lebih tiga per empat responden dan isu itu tidak berubah sepanjang penggal pemerintahan Perdana Menteri Narendra Modi, menurut kajian terbabit.

Tinjauan yang diterbitkan semalam itu menyatakan kebimbangan terhadap keganasan dan Pakistan tinggi walaupun, sebelum krisis bulan lalu, selepas serangan terhadap konvoi keselamatan di Kashmir.

Tiga per empat warga India percaya Pakistan adalah ancaman dan 59 peratus merasakan situasi itu kini menjadi lebih teruk.

“Walaupun dengan semua kebimbangan itu, kebanyakan warga India berpuas hati dengan hala tuju negara serta prospek ekonomi untuk generasi seterusnya,” kata Pew dalam kesimpulan tinjauan itu.

Daripada semua responden yang mengambil bahagian, 54 peratus berkata mereka berpuas hati dengan amalan demokrasi di India. Namun, tahap kepuasan itu susut 25 peratus berbanding 79 peratus pada 2017.

Modi dilihat mendahului persaingan pilihan raya yang akan bermula 11 April depan, namun jurang kedudukan beliau dengan calon lain kian rapat dan beberapa tinjauan mencadangkan kumpulan nasionalis Hindu mungkin tidak cukup majoriti untuk memerintah.

Sementara itu, ketegangan baharu dengan musuh ketat Pakistan mengalihkan perhatian daripada isu kos sara hidup kepada isu keselamatan nasional, sejak bulan lalu dan situasi terbabit memberikan manfaat kepada parti Bharatiya Janata yang diketuai Modi. - Reuters

Berita Harian X