Ahad, 10 March 2019 | 8:54pm
Seorang jurujual menunjukkan sari dengan gambar juruterbang India, Abhinandan Varthaman, yang ditangkap dan dibebaskan Pakistan di Surat, India. -Foto Reuters
Seorang jurujual menunjukkan sari dengan gambar juruterbang India, Abhinandan Varthaman, yang ditangkap dan dibebaskan Pakistan di Surat, India. -Foto Reuters

Parti politik India dilarang guna imej tentera ketika kempen

NEW DELHI: Suruhanjaya Pilihan Raya India mengeluarkan satu notis meminta parti politik tidak menggunakan imej pasukan bersenjata negara itu dalam poster kempen dan iklan lain ketika pilihan raya akan datang.

Notis itu beserta gambar dihantar di media sosial baru-baru ini menunjukkan parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) menggunakan imej juruterbang Tentera Udara India yang ditawan Pakistan dalam poster kempen mereka baru-baru ini susulan pertembungan dengan negara itu berkaitan Kashmir.

Suruhanjaya dalam satu notis di laman web mereka semalam berkata, parti politik perlu mengelak menggunakan gambar anggota pertahanan dalam iklan atau propaganda kempen pilihan raya oleh kerana pasukan bersenjata adalah ‘berkecuali dalam demokrasi moden.’

Suruhanjaya itu memetik arahan 2013 yang berkata, gambar anggota pertahanan seharusnya tidak digunakan ‘dalam apa juga iklan/propaganda/kempen atau mana-mana hubungan dengan pilihan raya oleh parti politik dan calon.’

Ia menggesa ‘pematuhan tegas’ terhadap arahan berkenaan.

Pesawat dipandu juruterbang India, Abhinandan Varthaman, ditembak jatuh 27 Februari lalu oleh Pakistan ketika pertembungan susulan serangan militan di Kashmir bulan lalu yang mengorbankan lebih 40 tentera separa India.

Tulisan terbaharu media sosial menunjukkan satu poster kempen di papan iklan ibu kota ini dengan wajah Varthaman bersama Perdana Menteri Narendra Modi dengan kata-kata: “Jika Modi berkuasa, ia tidak mustahil! NaMo sekali lagi 2019!” -Reuters

Penyokong parti Kongres mengibarkan bendera parti ketika pelancaran kempennya sebelum pilihan raya akan datang di perkampungan Killi Chahlan berhampiran Moga, baru-baru ini. -Foto AFP
Penyokong parti Kongres mengibarkan bendera parti ketika pelancaran kempennya sebelum pilihan raya akan datang di perkampungan Killi Chahlan berhampiran Moga, baru-baru ini. -Foto AFP

Berita Harian X