Rabu, 6 March 2019 | 11:10pm
Pertempuran di Kashmir 27 Februari lalu berakhir dengan kedua-dua pihak mendakwa mereka menembak jet pejuang antara satu sama lain dan seorang juruterbang India ditawan Pakistan. -Foto Agensi
Pertempuran di Kashmir 27 Februari lalu berakhir dengan kedua-dua pihak mendakwa mereka menembak jet pejuang antara satu sama lain dan seorang juruterbang India ditawan Pakistan. -Foto Agensi

Pakistan dedah nama juruterbang tembak pesawat India

ISLAMABAD: Pakistan menamakan juruterbang yang dikatakan menembak jatuh dua jet pejuang India minggu lalu, dalam pertempuran udara luar biasa yang mencetuskan kebimbangan konflik besar-besaran antara dua negara.

Pertempuran di wilayah bertelingkah Kashmir 27 Februari lalu berakhir dengan kedua-dua pihak mendakwa mereka menembak jet pejuang antara satu sama lain dan seorang juruterbang India ditawan Pakistan. Beliau kembali ke India Jumaat lalu, melintasi sempadan Wagah dengan berjalan kaki.

Insiden itu meningkatkan kebimbangan ketegangan memuncak antara negara Asia Selatan mungkin meletus kepada perang keempat, dengan kuasa dunia bergegas menggesa kedua pihak bertenang.

“Dua pesawat India ditembak jatuh tentera udara Pakistan 27 Februari lalu,” kata Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi kepada Parlimen hari ini.

Beliau menamakan mereka sebagai Ketua Skuadron Hassan Siddiqui dan Komander Sayap Nauman Ali Khan, mengatakan mahu ‘memberi penghormatan’ kepada kedua-duanya.

Nama Siddiqui disebut secara meluas dalam komen tidak disahkan di media sosial.

Pakistan berkata, sebuah pesawat terhempas di sebelah Garisan Kawalan (LoC), sempadan de facto yang memisahkan Kashmir, sementara yang kedua mendarat di sebelah India.

India, sementara itu mengakui pesawat kedua ditembak jatuh, namun mengatakan ia adalah pesawat Pakistan yang dinafikan Islamabad. -AFP

Berita Harian X