Khamis, 28 Februari 2019 | 7:30am
Juruterbang India Abhinandan Varthaman yang didakwa ditangkap tentera Pakistan

Isu Kashmir - Imran Khan gesa dialog

ISLAMABAD/NEW DELHI: India dan Pakistan terbabit dalam pertempuran udara di sepanjang Garisan Kawalan Kashmir (LoC) buat kali pertama sejak 1971 semalam, dengan New Delhi mendakwa kehilangan juruterbangnya dalam tindakan itu manakala Islamabad kehilangan sebuah jet pejuang F-16, menurut sumber India.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyeru supaya peningkatan ketegangan diredakan dan menjemput pihak berkuasa India memilih dialog berbanding kekerasan dalam ucapan televisyen di seluruh negara.

Ucapan dibuat selepas Pakistan menembak jatuh dua pesawat India merentasi LoC, sempadan de facto memisahkan Kashmir ditadbir kedua-dua negara. Seorang juruterbang India dilaporkan ditangkap.

Imran berkata, kedua-dua pihak seharusnya tidak tersilap perhitungan terhadap senjata yang mereka miliki dan beliau bersedia berbincang dengan jirannya India bagi mencari jalan menyelesaikan isu berbangkit termasuk keganasan.

“Marilah duduk bersama dan menyelesaikan masalah kita menerusi dialog,” kata Imran kepada kepimpinan India dalam ucapan di televisyen selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi Pusat Arahan Kebangsaan yang memantau senjata nuklear Pakistan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Hal Ehwal Luar India berkata, Pakistan memberi maklum balas terhadap ‘tindakan anti-keganasan’ sah negara itu ke atas kumpulan Jaish-e-Mohammed, disyaki melakukan serangan ke atas konvoi tentera India minggu lalu dengan ‘menyasar pangkalan tentera di pihak India.’

Kenyataan menambah, tentera udara India (IAF) kehilangan sebuah jet pejuang MiG-21 dan juruterbangnya hilang.

Katanya, ia sedang mengesahkan dakwaan Pakistan juruterbang negara itu ditangkap dan dibawa merentasi sempadan.

Kementerian Luar Pakistan mengakui Islamabad menyerang kedudukan tentera India, namun mendakwa berbuat demikian untuk mempertahankan diri.

“Tujuan utama tindakan ini ialah menunjukkan hak kami, kemahuan dan keupayaan untuk pertahanan diri. Kami tidak berhasrat memuncakkan ketegangan namun bersedia jika terpaksa,” kata seorang jurucakap.

Awal bulan ini, kumpulan militan berpusat di Pakistan, JeM mendakwa bertanggungjawab atas serangan bom nekad di daerah Pulwama di Kashmir, ditadbir India di mana lebih 40 tentera separa terbunuh.

Kedua-dua negara mengarahkan serangan udara sejak dua hari lalu, kali pertama dalam sejarah dua kuasa bersenjata nuklear berbuat demikian, sementara tentera darat berbalas tembakan di lebih 12 lokasi. Ia bermula selepas India menyasar lokasi JeM dalam Pakistan.

Satu sumber kerajaan India berkata, 300 militan terbunuh dalam serangan Selasa lalu manakala Pakistan menafikannya.

Imran berkata, beliau menawarkan India ‘perdamaian’ selepas apa yang berlaku di Pulwama.

“Saya memahami kesedihan keluarga. Kami menawarkan India kerjasama penuh dalam siasatan, oleh kerana Pakistan tidak boleh membiarkan tanah airnya digunakan untuk menyerang negara lain,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya bimbang India akan terjejas berikutan pilihan raya akan datang.

Merujuk insiden menembak jatuh pesawat MiG-21 India, Imran berkata: “Tiada negara berdaulat boleh membenarkan pelanggaran kedaulatannya. Saya memaklumkan India mengenai tentangan itu. Tujuan utama tindakan kami ialah menyampaikan, jika anda datang ke negara kami, kami boleh melakukan perkara yang sama.” -AFP/Reuters

Tentera India melalui kawasan bangkai pesawat negara itu di Kashmir, semalam. -Foto Agensi
Tentera India melalui kawasan bangkai pesawat negara itu di Kashmir, semalam. -Foto Agensi

 Tentera India dan penduduk Kashmir berdiri berhampiran bangkai helikopter pejuang negara itu yang ditembak jatuh Pakistan selepas terhempas dalam daerah Budgam, berhampiran Srinagar, semalam. -Foto AFP
Tentera India dan penduduk Kashmir berdiri berhampiran bangkai helikopter pejuang negara itu yang ditembak jatuh Pakistan selepas terhempas dalam daerah Budgam, berhampiran Srinagar, semalam. -Foto AFP
Berita Harian X