Rabu, 27 Februari 2019 | 9:17am
Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF) meronda di sepanjang sempadan Pakistan di sektor Ranbir Singh Pura berhampiran Jammu. - Foto Reuters
Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF) meronda di sepanjang sempadan Pakistan di sektor Ranbir Singh Pura berhampiran Jammu. - Foto Reuters

4 maut, 10 cedera pertempuran di Kashmir

MUZAFFARABAD (PAKISTAN) : Empat orang termasuk dua kanak-kanak maut manakala sepuluh lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan membabitkan pasukan keselamatan India dan Pakistan di Kashmir semalam, kata sumber kerajaan Pakistan.

“Peluru mortar dari pasukan India jatuh ke atas sebuah rumah di sektor Nakyal dan membunuh seorang ibu, anak perempuan dan anak lelaki manakala tiga lagi tercedera,” kata pegawai Lembaga Pengurusan Bencana, Shariq Tariq.

New Delhi dan Islamabad saling tuduh menuduh berhubung tembakan yang dilepaskan melepas sempadan de facto di Kashmir, dikenali sebagai Garisan Kawalan.

Menurut Tariq, seorang lagi wanita maut dan tujuh lagi cedera di satu lokasi lain di Nakyal dan ia disahkan oleh pegawai polis tempatan, Irfan Saleem.

Kematian itu dipercayai susulan serangan udara oleh India ke atas kem tentera di wilayah Pakistan, sebagai membalas serangan bunuh diri yang meragut nyawa 40 tentera India di Kashmir, awal bulan ini.

Pakistan menafikan dakwaan India bahawa serangan itu meragut banyak nyawa anggota militan yang bertanggungjawab dalam pengeboman pada 14 Februari lalu serta menyifatkan ia sebagai ‘penipuan dan tidak bertanggungjawab’.

Ia adalah serangan udara pertama India ke atas Pakistan sejak 1971, apabila kedua-duanya berperang untuk kemerdekaan Bangladesh.

Serangan melebihi garisan gencatan senjata itu yang membahagikan Kashmir kepada dua bahagian berlaku selepas India mengancam untuk mebalas insiden letupan bunuh diri, didakwa dilakukan kumpulan Jaish-e-Mohammed (JeM) dari Pakistan. - AFP

Berita Harian X