Selasa, 26 Februari 2019 | 1:01pm
Gambar fail menunjukkan Pasukan Keselamatan Sempadan India berkawal di kawasan sempadan India-Pakistan di Ranbir Singh Pura, sejauh 35 kilometer dari Jammu, India. -Foto Agensi
Gambar fail menunjukkan Pasukan Keselamatan Sempadan India berkawal di kawasan sempadan India-Pakistan di Ranbir Singh Pura, sejauh 35 kilometer dari Jammu, India. -Foto Agensi

Tentera udara India mengaku serang kem militan dalam Pakistan

ISLAMABAD: Pakistan berkata hari ini, pesawat pejuang India menyeberangi ruang udaranya di garisan gencatan senjata di Kashmir dan menggugurkan muatan, selepas ketegangan tercetus antara jiran bersenjata nuklear itu berhubung rantau bertelingkah.

“Tentera Udara India melanggar Garisan Kawalan. Berikutan tindak balas tepat pada masanya dan berkesan daripada Tentera Udara Pakistan, jet pejuang India melepaskan muatan secara tergesa-gesa ketika melarikan diri berhampiran Balakot.

“Tiada kematian atau kerosakan,” kata jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor menulis tweet, menjelaskan tindak balas pihaknya terhadap pencerobohan itu.

Beliau tidak memberi maklumat lanjut berhubung lokasi dan jika sebuah bandar dengan nama itu dalam Kashmir ditadbir Pakistan atau terletak lebih jauh dalam wilayahnya.

Gambar dikeluarkan Perhubungan Awam Perkhidmatan Perisikan Pakistan (ISPR) hari ini menunjukkan kerosakan berikutan pengguguran muatan oleh tentera udara India di Balakot, Kashmir. -Foto AFP
Gambar dikeluarkan Perhubungan Awam Perkhidmatan Perisikan Pakistan (ISPR) hari ini menunjukkan kerosakan berikutan pengguguran muatan oleh tentera udara India di Balakot, Kashmir. -Foto AFP

Ghafoor menghantar tweet imej apa yang dikatakan beliau sebagai muatan, menunjukkan kepingan logam berada dalam kawasan hutan. Tiada ulasan segera dari New Delhi.

Gambar ‘muatan’ keluli didakwa digugurkan tentera India dalam Pakistan di Balakot. -Foto AFP
Gambar ‘muatan’ keluli didakwa digugurkan tentera India dalam Pakistan di Balakot. -Foto AFP

Bagaimanapun laporan berita India berkata, jet pejuang negara itu menyerang beberapa sasaran termasuk kem dikendalikan Jaish-e-Mohammad, kumpulan Islam yang mendakwa melakukan serangan 14 Februari lalu di Kashmir yang menyebabkan ketegangan memuncak.

“Sumber kerajaan atasan berkata, hampir 200 kematian daripada serangan Tentera Udara India,” kata penyiar persendirian CNN News 18.

New Delhi mengancam membalas dendam selepas serangan dahsyat di Kashmir yang mengorbankan lebih 40 tentera separa India.

Islamabad menafikan serangan dan memberi amaran melakukan tentangan jika India melancarkan sebarang serangan.

JeM adalah satu daripada beberapa kumpulan anti-India berjuang di Kashmir, yang dituntut kedua-dua India dan Pakistan sejak merdeka pada 1947.

Kementerian Dalam Negeri Pakistan mengumumkan minggu lalu, pihak berkuasa merampas kawalan sebuah kompleks dipercayai ibu pejabat JeM.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian negeri Gajendra Singh Shekhawat di Twitter mengesahkan serangan tentera udara India ke atas kem militan dalam Pakistan hari ini.

“Tentera udara menjalankan serangan udara awal pagi hari ini di kem pengganas di seluruh LoC (Garisan Kawalan) dan memusnahkannya,” kata Shekhawat. -Reuters

Berita Harian X