Ahad, 24 Februari 2019 | 6:18pm
SEORANG kanak-kanak Kashmir duduk berhampiran pasar tertutup sambil diawasi tentera paramiliter India di kawasan Downtown Srinagar. Foto EPA
SEORANG kanak-kanak Kashmir duduk berhampiran pasar tertutup sambil diawasi tentera paramiliter India di kawasan Downtown Srinagar. Foto EPA

India tahan lebih 160 pemisah Kashmir

SRINAGAR: Tentera dan polis India menahan lebih 160 pemimpin pemisah dan aktivis, kebanyakannya anggota parti Jamaat-e-Islami (JeI), dalam serbuan dua malam berturut-turut di Kashmir, dan mengenakan sekatan ke atas pergerakan penduduk.

Tindakan di bandar dan kampung itu susulan bom kereta yang meragut 40 nyawa polis separa tentera India dalam konvoi tentera pada 14 Februari lalu yang didakwa dilakukan satu lagi kumpulan, Jaish-e-Mohammed (JeM) yang berpangkalan di Pakistan.

Polis berkata, mereka menangkap pemisah untuk mengelakkan masalah menjelang pilihan raya umum yang perlu diadakan Mei ini.

Pihak berkuasa menahan 60 anggota Jamaat-e-Islami tengah malam semalam, selain lebih 100 lagi ditahan pada malam kelmarin, kata pegawai kanan polis yang enggan dikenali.

“Oleh kerana JeI mempunyai rangkaian kerja lebih luas di seluruh Kashmir dan menggerakkan bantahan anti-India, penangkapan anggotanya dapat membantu membendung tunjuk perasaan menjelang pilihan raya,” katanya.

Pihak berkuasa turut menahan pemisah JeM, penyokong dan saudara mara mereka sejak serangan itu.

Pemisah menggesa mogok diadakan bagi membantah penahanan itu.

Susulan itu, banyak kedai, stesen petrol, dan perniagaan ditutup dengan tidak ramai orang dan kenderaan di atas jalan raya di kawasan sensitif, kecuali tentera peronda. — Reuters

Berita Harian X