Isnin, 18 Februari 2019 | 6:08pm
Antara orang awam yang membuat bantahan di Pulwama, Bhopal, India susulan pembunuhan 41 anggota tentera para di wilayah Kashmir yang ditadbir India minggu lalu. - Foto EPA
Antara orang awam yang membuat bantahan di Pulwama, Bhopal, India susulan pembunuhan 41 anggota tentera para di wilayah Kashmir yang ditadbir India minggu lalu. - Foto EPA

India turunkan potret Imran Khan tanda protes

NEW DELHI: Stadium kriket di seluruh India menurunkan potret bekas kapten yang kini Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan sebagai tanda protes susulan pembunuhan 41 anggota tentera para di wilayah Kashmir yang ditadbir India minggu lalu.

India menyalahkan Pakistan susulan serangan bunuh diri ke atas konvoi tentera yang sekali gus mencetus gesaan meluas supaya tindakan diambil ke atas negara berjiran itu.

Khan yang mengetuai pasukan Pakistan sehingga mengungguli Piala Dunia pada 1992 dianggap antara pemain terbaik sukan berkenaan.

Bagaimanapun Cricket Club of India di Mumbai memprotes dengan menurunkan potret Khan dan beberapa bintang Pakistan lain.

“Kami menghormati sentimen rakyat India yang marah dengan apa yang berlaku di Kashmir. Sebagai tanda protes kami menurunkan gambar semua pemain Pakistan,” kata bendahari Persatuan Kriket Punjab, Ajay Tyagi kepada AFP.

Lembaga Kriket Pakistan (PCB) bagaimanapun mengecam tindakan itu.

“Kami sentiasa percaya dan menegaskan bahawa sukan dan politik perlu dipisahkan. Sejarah memberitahu kita bahawa sukan, terutamanya kriket, sentiasa memainkan peranan utama dalam membina jambatan di antara manusia dan negara,” kata pengarah urusan PCB, Wasim Khan dalam satu kenyataan.

Wasim Khan turut menyifatkan protes itu sebagai sesuatu yang amat dikesali. - AFP

Berita Harian X