Ahad, 17 Februari 2019 | 8:58pm

2.5 juta penduduk Xinjiang diawasi firma pengawasan China

BEIJING: Sebuah firma pengawasan China menjejaki pergerakan lebih daripada 2.5 juta penduduk di rantau pedalaman Xinjiang barat, menurut kebocoran data yang didedahkan seorang pakar internet Belanda.

Pangkalan data dalam talian yang mengandungi nama, nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan data lokasi didapati terbiar dan tidak dilindungi selama berbulan-bulan oleh syarikat teknologi pengenalan muka, SenseNets Technology Ltd, yang berpangkalan di Shenzhen.

Menurut pengasas bersama sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan, GDI.Foundation Victor Gevers, beliau mula menyedari kelemahan itu dalam satu siri muat naik di media sosial minggu lalu.

Data yang dibocorkan turut mendedahkan kira-kira 6.7 juta lokasi dikaitkan dengan penduduk terbabit yang dikumpulkan dalam masa 24 jam.

Ia turut ditanda dengan keterangan seperti ‘masjid’, ‘hotel’, ‘kafe internet’ dan tempat lain yang terdapat kamera litar tertutup.

“Ia terdedah sepenuhnya dan siapa saja tanpa pengesahan punya hak sepenuhnya untuk mentadbir. Anda boleh masuk ke dalam pangkalan data untuk mewujudkan, membaca, mengemas kini dan memadam apa saja,” kata Gevers.

China berdepan bantahan keras aktivis, sarjana, kerajaan asing dan pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung penahanan besar-besaran dan pengawasan ketat ke atas minoriti Muslim Uighur dan kumpulan Muslim lain yang menetap di Xinjiang.

Menurut laman webnya, SenseNets bekerjasama dengan polis China di beberapa bandar. Syarikat induknya, Shenzhen NetPosa Technologies Ltd mempunyai cawangan di kebanyakan wilayah di China, termasuk Xinjiang.

Walau bagaimanapun, SenseNets dan NetPosa, serta kerajaan serantau Xinjiang, gagal dihubungi untuk mengulas lanjut. - Reuters

Berita Harian X