Jumaat, 15 Februari 2019 | 9:16pm
PAKAR hubungan antarabangsa dari Jindal School of International Affairs di India, Profesor Sreeram Chaulia. - Foto AGENSI
PAKAR hubungan antarabangsa dari Jindal School of International Affairs di India, Profesor Sreeram Chaulia. - Foto AGENSI

Pakistan perlu dipulaukan komuniti antarabangsa - India

NEW DELHI: Kerajaan India berjanji untuk mengambil segala langkah untuk mengasingkan Pakistan sepenuhnya daripada komuniti antarabangsa, susulan serangan militan terhadap konvoi tentera India di Kashmir, kelmarin.

“Kami mempunyai bukti kukuh bahawa Islamabad terbabit secara langsung dalam serangan kejam ini,” kata Menteri Luar India, Arun Jaitley.

Katanya, kerajaan India juga akan mengeluarkan status keistimewaan negara paling digemari yang diberikan kepada Pakistan di bawah peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Penganalisis hubungan antarabangsa menjangkakan serangan di Kashmir akan memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara yang sudah pun berada pada tahap terendah, sebelum ini.

“India akan melihat semua kaedah tindak balas termasuk tindakan ketenteraan, pengasingan diplomatik dan sehingga kepada serangan merentas sempadan,” kata pakar hubungan antarabangsa dari Jindal School of International Affairs di India, Profesor Sreeram Chaulia.

Jumlah kematian konflik Kashmir tahun lalu adalah yang tertinggi sejak 2009 termasuk sekurang-kurangnya 260 pejuang pemberontak, 160 penduduk awam dan 150 pasukan keselamatan. Setakat ini, kira-kira 70,000 orang terbunuh dalam kebangkitan dan tindakan balas operasi kerajaan India, sejak 1980.

India dijangka berdepan kesukaran kerana China yang mempunyai banyak kepentingan di Pakistan akan cuba melindungi negara itu daripada sebarang tindakan di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, India pernah menggesa supaya memasukkan pengasas dan ketua kumpulan militan yang mengaku melakukan serangan kelmarin, Jaish-e-MOhammad (JeM), Masood Azhar dalam senarai pengganas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, sekutu Pakistan, China pernah menyekat cubaan memasukkan Azhar dalam senarai sekatan Majlis Keselamatan PBB. - AFP

Berita Harian X