Ahad, 20 Januari 2019 | 3:36pm
ANAK pelarian Syria bermain salji di kem Um Alkora yang terletak di dalam wilayah Beqaa Utara mempunyai 160 kem yang menempatkan 60,000 pelarian Syria. - Foto BERNAMA
ANAK pelarian Syria bermain salji di kem Um Alkora yang terletak di dalam wilayah Beqaa Utara mempunyai 160 kem yang menempatkan 60,000 pelarian Syria. - Foto BERNAMA

16,000 liter diesel untuk pelarian di Jarabulus, Syria

GAZIANTEP (Turki): Lebih 800 keluarga pelarian Syria di zon konflik itu menerima 16,000 liter diesel sumbangan rakyat Malaysia bagi kegunaan musim sejuk semalam.

Bekalan bahan api, sebanyak 20 liter setiap keluarga itu, disalurkan melalui misi musim sejuk 3.0 Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) di dua kem pelarian di Jarabulus, Syria.

Tim MVM-GPM yang masuk ke Syria melalui pintu sempadan Karkamis dikuasai Turki sejak 18 Januari lalu, menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia pertama menyampaikan bantuan di kem pelarian Al Saraya dan Al Zaugharah di Jarabulus.

Sukarelawan GPM, Hasrol Sazli Abdul Khail, berkata bekalan diesel amat penting untuk pelarian ketika musim sejuk sebagai bahan bakar pemanas badan.

“Bekalan bahan api diesel 20 liter ini mampu bertahan hingga sebulan,” katanya kepada wakil Bernama yang mengikuti misi musim sejuk selama 10 hari sejak 16 Januari lalu.

Cuaca sejuk melebihi paras beku amat mencengkam kehidupan pelarian Syria di sini dengan laporan media sebelum ini, menyatakan ada kanak-kanak terkorban kerana cuaca sejuk melampau.

Presiden MVM, Muhammad Jantan pula bersyukur fasa pertama misi itu untuk menyalurkan bantuan di dalam Syria tercapai.

“Fasa kedua akan diteruskan dengan bantuan kit musim sejuk kepada keluarga pelarian di sempadan Turki-Syria,” katanya.

MVM masih berusaha untuk mengumpulkan dana bagi membantu lebih 13,500 pelarian sasaran di Turki-Syria.

Mana-mana pihak ingin membantu boleh ke FB Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan GPM.

Konflik perang saudara di Syria sejak Mac 2011 mengorbankan lebih setengah juta warga Syria dengan lebih 13 juta pelarian terjejas dan memerlukan bantuan segera. – BERNAMA

Berita Harian X