Selasa, 8 Januari 2019 | 6:44pm
Anggota polis mengawal keadaan di luar sebuah sekolah rendah, susulan serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan tukul, di Beijing, hari ini. - EPA
Anggota polis mengawal keadaan di luar sebuah sekolah rendah, susulan serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan tukul, di Beijing, hari ini. - EPA

20 murid sekolah cedera diserang lelaki guna tukul

BEIJING: Seramai 20 kanak-kanak cedera dalam serangan oleh lelaki bersenjatakan tukul di sebuah sekolah rendah di sini, dan tiga daripada mereka dilaporkan mengalami cedera parah.

Menurut pihak berkuasa daerah Xicheng, lelaki itu berjaya ditahan, manakala kesemua kanak-kanak yang cedera sudah dibawa ke hospital, namun tidak menyatakan punca kejadian dan bagaimana serangan itu berlaku.

Akhbar tabloid Global Times dalam mesej di Twitter melaporkan, suspek menggunakan tukul ketika melakukan serangan di sekolah itu.

Namun, polis Beijing yang dihubungi AFP enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.

Dalam pada itu, serangan yang menyasar murid sekolah bukan satu perkara yang asing di China, dan pelbagai kes dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kebanyakannya membabitkan penggunaan pisau.

Pada April lalu, seorang lelaki berusia 28 tahun yang bersenjatakan pisau membunuh sembilan pelajar sekolah menengah ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Lelaki itu, yang mendakwa pernah menjadi mangsa buli ketika belajar di sebuah sekolah di wilayah Shaanxi, di utara China, kemudiannya menjalani hukuman mati pada September lalu. - AFP

Berita Harian X