X
Isnin, 7 Januari 2019 | 4:28pm

Petani dihukum mati tetak kanak-kanak di China

BEIJING: Pihak berkuasa China menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang petani yang menyerang beberapa kanak-kanak di sebuah tadika di selatan bandar China, dua tahun lalu.

Agensi berita Xinhua melaporkan Yan Pengan dihukum mati pada Jumaat lalu kerana menetak kanak-kanak di sebuah sekolah terletak di wilayah Guangxi Zhuang.

Difahamkan Yan pergi ke tadika terbabit dengan membawa pisau dapur pada 2017 dan menyerang 12 kanak-kanak sekolah itu hingga menyebabkan empat daripadanya cedera parah.

Seorang guru berjaya menghalang serangan ganas itu dengan meminta bantuan orang ramai sebelum Yan melarikan diri dari lokasi kejadian.

Yan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa tempatan.

Serangan menggunakan pisau terhadap kanak-kanak sekolah jarang berlaku di China. - AFP

Berita Harian X