Ahad, 18 November 2018 | 2:03pm
Penduduk India membersihkan pokok yang tumbang menimpa kabel elektrik di stesen kereta api di Nagapattinam di selatan Tamil Nadu, India selepas taufan melanda wilayah itu. - Foto AFP
Penduduk India membersihkan pokok yang tumbang menimpa kabel elektrik di stesen kereta api di Nagapattinam di selatan Tamil Nadu, India selepas taufan melanda wilayah itu. - Foto AFP

33 maut siklon Gaja landa tenggara India

NEW DELHI: Angka kematian siklon Gaja yang melanda pesisiran pantai timur India, disahkan meningkat kepada 33 orang, ketika pihak berkuasa masih menilai jumlah kerosakan akibat insiden itu.

Siklon Gaja yang membawa angin pada kelajuan 120 kilometer sejam dilaporkan turut melanda Tamil Nadu, selepas membadai kawasan pantai itu Jumaat lalu.

Ribuan pokok tumbang akibat angin kencang, yang turut memusnahkan kediaman, selain memaksa ratusan penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

“Setakat ini, 20 lelaki, 11 wanita dan dua kanak-kanak disahkan terkorban akibat siklon.

“Kira-kira 177,500 penduduk kini ditempatkan di 351 kem perlindungan.

“Ribuan pokok dan tanaman turut musnah selepas siklon Gaja melanda kawasan berkenaan,” kata pegawai yang bertugas dengan pihak berkuasa pengurusan bencana negeri kepada AFP.

Sementara itu, Ketua Menteri Tamil Nadu, Edappadi Palaniswami mengumumkan bayaran pampasan sebanyak AS$14,000 (RM58,567) kepada setiap keluarga mangsa. - AFP

Berita Harian X