Ahad, 28 Oktober 2018 | 11:48pm
MENTERI Kebudayaan dan Sukan Israel, Miri Regev (kanan) turut hadir pada pertandingan judo di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini. - Foto EPA
MENTERI Kebudayaan dan Sukan Israel, Miri Regev (kanan) turut hadir pada pertandingan judo di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini. - Foto EPA

Israel semakin diterima di Teluk

BAITULMAQDIS: Menteri Israel yang menyertai pertandingan judo di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini berharap dapat mendengar lagu kebangsaan dimainkan di acara berkenaan, dalam satu lagi langkah ke arah merapatkan hubungan dengan dunia Arab.

Kehadiran Menteri Kebudayaan dan Sukan Israel, Miri Regev, di Abu Dhabi menandakan kali pertama menteri rejim Zionis menghadiri acara sukan di Teluk, kata pegawai Israel.

Ia juga menjadi penyertaan pertama delegasi Israel di bawah bendera mereka, selepas Persekutuan Judo Antarabangsa memberi amaran akan membatalkan pertandingan kecuali semua atlit dibenarkan mengambil bahagian dengan hak dan syarat sama.

Tahun lalu, penganjur kejohanan di Abu Dhabi melarang bendera dan lagu kebangsaan Israel, yang tiada hubungan diplomatik dengan negara Teluk.

“Saya amat bangga berada di Abu Dhabi mewakili Israel bersama-sama pasukan judo dan bendera kami.

“Saya harap kami menang pingat emas dan mengalami saat mendebarkan apabila Hatikvah dimainkan dalam arena di Abu Dhabi,” katanya dalam laman Facebook, merujuk lagu kebangsaan Israel.

Tiga peserta judo Israel menang pingat gangsa semalam, hari pertama Grand Slam Abu Dhabi, dengan Regev diberikan penghormatan menyampaikan pingat bagi salah satu kategori. — AFP

Berita Harian X