Isnin, 1 Oktober 2018 | 12:57am

India tembak helikopter Perdana Menteri Kashmir

ISLAMABAD: Helikopter pemimpin wilayah Kashmir yang dikuasai Pakistan ditembak tentera India, semalam, berhampiran sempadan dalam tindakan yang dijangka memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Wilayah majoriti Muslim, Kashmir terbahagi di antara kedua-dua negara berjiran kuasa nuklear, masing-masing mendakwa mempunyai kedaulatan terhadap seluruh wilayah itu dan sudah berperang dua kali, sejak pemisahan pada 1947.

Perdana Menteri wilayah Azad Kashmir, Farooq Haider Khan berkata, helikopter awam beliau ditembak tentera India daripada sempadan.

“Tentera India menembak untuk menunjukkan Pakistan menceroboh ruang udara mereka, namun ketika tembakan, kami berada dalam ruang udara sendiri,” menurut kenyataan pejabat Khan.

Jurucakap tentera India, Leftenan Kolonel Devender Anand berkata, sebuah helikopter Pakistan menceroboh ruang udara India di sepanjang sempadan di dearah Poonch, Kashmir tengah hari semalam.

“Kemungkinan ia adalah helikopter awam dan terbang amat tinggi. Pengawal udara di barisan hadapan menembaknya dengan senjata ringan,” kata Anand. - Reuters

Berita Harian X