Sabtu, 22 September 2018 | 8:16pm
IMRAN Khan. - Foto REUTERS
IMRAN Khan. - Foto REUTERS

India bersikap angkuh batalkan pertemuan: Pakistan

ISLAMABAD: Keputusan India membatalkan rundingan jarang dilakukan dengan Pakistan agak mengecewakan dan ‘angkuh,’ kata Perdana Menterinya, Imran Khan hari ini, sehari selepas New Delhi menuduh beliau menyimpan ‘agenda jahat.’

India menarik diri dalam pertemuan antara Menteri Luarnya dan rakan sejawatan dari Pakistan ditetapkan minggu depan di luar satu persidangan besar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sehari selepas menyetujuinya.

Kementerian Luar di New Delhi menyalahkan tindakan terbaharu yang mendedahkan ‘agenda jahat’ Pakistan dan ‘wajah sebenar’ Khan, yang membalas tuduhan itu di Twitter hari ini.

“Kecewa dengan keangkuhan dan maklum balas negatif oleh India terhadap gesaan saya meneruskan dialog perdamaian.

“Bagaimanapun, seluruh hidup saya, saya bertemu dengan sekumpulan kecil lelaki menduduki pejabat besar yang tiada visi untuk matlamat lebih besar,” tulis Khan di Twitter.

New Delhi berkata, ia membatalkan rundingan selepas ‘pembunuhan kejam terbaharu kakitangan keselamatan oleh entiti berpusat di Pakistan dan pengedaran terkini siri setem pos yang mengagungkan pengganas dan keganasan.’

India tidak menyebut secara khusus pembunuhan dalam kenyataannya, namun awal minggu ini, seorang pengawal sempadan di wilayah bertelingkah Kashmir terbunuh dan mayatnya disiksa. Tiga anggota polis ditemui mati semalam selepas diculik di Kashmir yang ditadbir India.

Pakistan baru-baru ini mengeluarkan setem pos Burhan Wani, seorang komander militan berkarisma Kashmir yang dibunuh tentera India pada Julai 2016, yang mana kematiannya mencetuskan gelombang bantahan ganas di wilayah itu. -AFP

Berita Harian X