Isnin, 10 September 2018 | 1:06pm
JUMLAH kematian akibat gempa bumi kuat di utara Jepun minggu lalu meningkat kepada 44 orang dengan 660 cedera. - Foto AFP
JUMLAH kematian akibat gempa bumi kuat di utara Jepun minggu lalu meningkat kepada 44 orang dengan 660 cedera. - Foto AFP

Gempa Hokkaido: 2,500 di pusat pemindahan, 44 maut

TOKYO: Jumlah kematian akibat gempa bumi kuat di utara Jepun minggu lalu meningkat kepada 44 orang dengan 660 cedera, kata kerajaan hari ini ketika bekalan elektrik masih tidak mencukupi dan pembuat kereta terkenal Toyota menggantung operasi di kebanyakan kilang pemasangan.

Gempa awal pagi magnitud 6.7 Khamis lalu secara seketika melumpuhkan pulau Hokkaido, memutuskan akses udara dan kereta api serta menyebabkan bekalan kuasa terputus di kepulauan bersaiz sebesar Austria itu.

Kira-kira 2,500 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran selepas tanah runtuh menimbus rumah, sementara hujan pada hujung minggu memberi ancaman kepada rumah tidak stabil.

Jurucakap atasan kerajaan, Yoshihide Suga berkata, sepasukan 40,000 anggota Pertahanan Diri (SDF), polis dan bomba serta yang lain berusaha membersihkan runtuhan dan operasi pembersihan. Katanya, tiada lagi penduduk dilapor hilang.

Bekalan kuasa dipulihkan kepada semua pelanggan di Hokkaido namun Menteri Perdagangan, Hiroshige Seko menggesa premis perniagaan dan 5.3 juta penduduk kepulauan itu mengurangkan penggunaan utiliti kepada 20 peratus bagi menghalang bekalan terputus.

“Adalah penting buat semua penduduk, premis perniagaan, kerajaan dan pembekal elektrik untuk bekerja bersama ke arah matlamat menjimatkan 20 peratus tenaga,” kata Seko dalam sidang media lewat semalam. -Reuters

Berita Harian X