Ahad, 9 September 2018 | 12:17am

Lelaki Korea Selatan dijangkiti MERS

SEOUL: Seorang lelaki warga Korea Selatan berumur 61 tahun didiagnosis Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) yang mungkin membawa maut dan dia kini sedang dirawat di sebuah hospital di Seoul.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Seoul (KCDC), pesakit berkenaan dikatakan pulang ke Seoul selepas melakukan lawatan perniagaan ke Kuwait dari 16 Ogos hingga 6 September lalu.

Ini adalah kali pertama sejak Julai 2015, wabak MERS dilaporkan di Korea Selatan.

“Setakat ini sejumlah 20 orang, termasuk kru penerbangan dan kakitangan perubatan didapati rapat dengan pesakit dan mereka ini diasingkan di rumah,” kata Pengarah KCDC, Jeong Eun-kyeong yang memberitahu sidang media.

Jeong berkata, pesakit berkenaan yang mengalami cirit birit dibawa terus ke Pusat Perubatan Samsung dari lapangan terbang.

Tambahnya, beliau kini diasingkan dalam wad di Hospital Universiti Kebangsaan Seoul. - Reuters.

Berita Harian X