Khamis, 6 September 2018 | 9:35pm
ORANG ramai beratur di tempat letak kereta sebuah pasaraya bagi mengecas telefon bimbit berikutan bekalan elektrik terputus.
ORANG ramai beratur di tempat letak kereta sebuah pasaraya bagi mengecas telefon bimbit berikutan bekalan elektrik terputus.

Pelajar Malaysia cemas rasai gempa

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di pulau Hokkaido, utara Jepun menempuh pengalaman gempa bumi menakutkan apabila rumah sewa didiami di tingkat atas bangunan empat tingkat bergegar kuat pada jam 3 pagi tadi.

Pelajar Tahun Tiga Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Institut Teknologi Muroran, Muhammad Ammar Shah Shahrol, 22, berkata ketika itu beliau sedang tidur dan terkejut dengan gegaran kuat yang berlarutan lebih seminit.

Beliau yang tinggal sendirian bergegas keluar dalam keadaan barangan jatuh bertaburan di rumahnya.

"Saya terus keluar rumah menyelamatkan diri dan berkumpul di pusat perhimpunan ketika kecemasan tidak jauh dari rumah bersama orang ramai.

"Gegaran susulan berlaku lagi sekitar jam 6.30 pagi sebelum kami dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi meninjau keadaan.

"Kejadian gempa bumi ini menakutkan dan tidak dijangka berlaku sekuat ini di Hokkaido," katanya ketika dihubungi hari ini.

Gempa bumi berukuran magnitud 6.7 pada skala Richter melanda utara Jepun awal pagi tadi menyebabkan bekalan elektrik terputus dan memusnahkan kediaman serta jalan raya.

ORANG ramai di bandar Muroran, pulau Hokkaido beratur membeli barang keperluan seperti makanan, tisu dan gas di luar supermarket bagi tujuan keselamatan.
ORANG ramai di bandar Muroran, pulau Hokkaido beratur membeli barang keperluan seperti makanan, tisu dan gas di luar supermarket bagi tujuan keselamatan.

Jepun dilanda bencana yang kerap dalam tempoh beberapa bulan ini termasuk musim panas melampau dan taufan Jebi yang melanda Kansai kelmarin.

Muhammad Ammar, pelajar tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dari Changlun, Kedah, berkata ia pengalaman pertama kali dirasakannya sejak belajar di Jepun dua tahun lalu.

"Kami dimaklumkan gegaran susulan akan berlaku lagi dan mungkin lebih kuat, pihak berkuasa mengarahkan kami bersiap sedia untuk menyelamatkan diri.

"Saya dan beberapa rakan universiti lain kini duduk bergelap berikutan bekalan elektrik terputus sejak jam 4 pagi tadi dan bersiap sedia dengan keperluan sekiranya gempa bumi lebih buruk melanda," katanya yang tinggal hampir sejam setengah perjalanan dari pusat gempa bumi paling kuat berlaku di sekitar Chitose.

Beliau juga sempat mencari bekalan barang makanan dan menyaksikan ramai rakyat di bandar Muroran berpusu-pusu membeli keperluan khususnya makanan yang dihadkan pembeliannya serta bekalan air satu botol besar untuk seorang pembeli.

"Jika keadaan menjadi lebih teruk, mungkin kami akan bergerak ke tempat perlindungan yang lebih selamat, namun stesen minyak terhad dan kerosakan jalan mungkin menyukarkan pergerakan," katanya.

KEADAAN di rumah salah seorang pelajar Malaysia di bandar Muroran, Hokkaido yang dilanda gempa bumi awal pagi tadi.
KEADAAN di rumah salah seorang pelajar Malaysia di bandar Muroran, Hokkaido yang dilanda gempa bumi awal pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau dan rakan-rakan berterima kasih kerana pegawai YPM di Malaysia dan wakil mereka di Jepun iaitu Japan Universities Consortium of Transnational Education (JUCte) sentiasa memantau keadaan dan mendapat maklumat terkini.

Terdapat hampir 15 pelajar Malaysia di pulau ini dengan tujuh daripadanya adalah pelajar tajaan YPM.

"Alhamdulillah, kami semua selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, kami mohon keluarga di kampung halaman berdoa untuk keselamatan kami di sini.

"Diharap keadaan kembali pulih bagi membolehkan kami menyambung sesi pengajian yang bermula bulan hadapan," katanya.

Berita Harian X