Isnin, 27 Ogos 2018 | 5:19pm
NAHAS pada 12 Mac itu berlaku apabila pesawat dari Dhaka terhempas di lapangan terbang Kathmandu dan terbabas ke padang bola berhampiran sebelum terbakar, membunuh 51 orang. - Foto fail Reuters
NAHAS pada 12 Mac itu berlaku apabila pesawat dari Dhaka terhempas di lapangan terbang Kathmandu dan terbabas ke padang bola berhampiran sebelum terbakar, membunuh 51 orang. - Foto fail Reuters

Tekanan emosi juruterbang punca nahas pesawat terburuk Nepal

KATHMANDU : Siasatan ke atas nahas pesawat di lapangan terbang Nepal yang meragut 51 nyawa Mac lalu didapati berpunca daripada tekanan emosi dialami juruterbang bertugas.

Menurut salinan laporan yang ‘bocor’ hari ini, juruterbang itu mengalami tekanan emosi ketika menerbangkan pesawat selepas kemahirannya diragui dan dipersoalkan.

Nahas pada 12 Mac itu berlaku apabila pesawat dari Dhaka terhempas di lapangan terbang Kathmandu dan terbabas ke padang bola berhampiran sebelum terbakar, membunuh 51 orang sekali gus disifatkan nahas penerbangan terburuk Nepal sejak beberapa dekad lalu.

Salinan laporan akhir siasatan itu merumuskan bahawa juruterbang syarikat US-Bangla itu berada dalam tekanan dan terganggu selepas seorang rakan sekerja wanita mempersoalkan reputasinya sebagai jurulatih.

“Rasa tidak percaya dan tekanan itu menyebabkan beliau merokok tanpa henti di dalam kokpit, selain gagal mengawal emosi selama beberapa kali sepanjang penerbangan.

“Kapten Abid Sultan menangis dan bersin beberapa kali sepanjang penerbangan,” kata laporan itu.

Dalam penerbangan jarak dekat dari Dhaka ke Kathmandu itu, Sultan yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Bangladesh bercakap tanpa henti sebagai cubaan untuk menonjolkan kehebatan beliau.

Ia menyebabkan pembantu juruterbang itu hilang tumpuan sebelum pesawat terbabit terhempas. - AFP

Berita Harian X