Sabtu, 25 Ogos 2018 | 8:39pm
PESERTA Hari Keluarga ACT 2018 termasuk Duta dari negara ASEAN bergambar bersama di Taman Kasai Rinkai. - Foto Faiza Zainudin
PESERTA Hari Keluarga ACT 2018 termasuk Duta dari negara ASEAN bergambar bersama di Taman Kasai Rinkai. - Foto Faiza Zainudin
ANTARA aktiviti Hari Keluarga ACT 2018 di Tokyo. - Foto Faiza Zainudin
ANTARA aktiviti Hari Keluarga ACT 2018 di Tokyo. - Foto Faiza Zainudin
ANTARA aktiviti Hari Keluarga ACT 2018 di Tokyo. - Foto Faiza Zainudin
ANTARA aktiviti Hari Keluarga ACT 2018 di Tokyo. - Foto Faiza Zainudin

Hari Keluarga ACT meriah di Tokyo

TOKYO: Hari Keluarga Jawatankuasa ASEAN di Tokyo (ACT) 2018 anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Jepun berlangsung meriah di Taman Kasai Rinkai, dekat sini, dengan penyertaan 300 orang dari 10 negara anggota.

Cuaca panas tidak menghalang peserta termasuk Duta Besar, pegawai diplomat, ahli keluarga dan kakitangan tempatan menyertai acara disediakan termasuk tarian zumba dan sukan seperti boling padang, tarik tali dan lari dalam guni.

Selain pertandingan persahabatan, negara anggota terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam turut memperkenalkan juadah enak dari negara masing-masing.

Ahli berpeluang menikmati makanan dari Malaysia seperti nasi lemak, karipap dan bingka, serta makanan dari negara lain termasuk bihun goreng dan sate dari Singapura selain bakso serta gado-gado dari Indonesia.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris berkata, Hari Keluarga adalah satu-satunya program ACT yang membabitkan penyertaan ahli keluarga anggota ASEAN yang diadakan setiap tahun.

Program ACT lain katanya adalah pertandingan golf dan boling yang diadakan mengikut giliran antara negara anggota.

"Kali ini giliran kita, ia satu peluang memupuk persefahaman antara budaya menuju ke arah satu masyarakat ASEAN," katanya pada majlis Hari Keluarga ACT 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Rose Abdullah, yang juga Presiden Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) Tokyo.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Izlan merakam penghargaan terhadap rakan sejawat dan komitmen semua pihak termasuk dari ASEAN Japan Centre serta Tokyo Metropolitan Lawn Bowls Society (TMLBS) dalam menjayakan majlis berkenaan.

Majlis berakhir dengan acara penyampaian hadiah untuk semua pemenang.

Berita Harian X