Khamis, 23 Ogos 2018 | 11:21am
MATHIAS Cormann (tengah) menghadiri sidang akhbar mengumumkan sokongan mereka kepada Peter Dutton sebagai perdana menteri di Dewan Parlimen di Canberra , Australia. - Foto EPA
MATHIAS Cormann (tengah) menghadiri sidang akhbar mengumumkan sokongan mereka kepada Peter Dutton sebagai perdana menteri di Dewan Parlimen di Canberra , Australia. - Foto EPA

Krisis kepimpinan: 3 menteri kanan Australia letak jawatan

CANBERRA: Tiga menteri kanan Australia menghantar surat peletakan jawatan mereka hari ini dan menggesa Perdana Menteri Malcolm Turnbull mengadakan undian kepimpinan kedua, mengatakan mereka percaya beliau hilang majoriti sokongan dalam Parti Liberal.

Turnbull menang tipis pemilihan parti kelmarin dengan 48 undian berbalas 35 menentang bekas Menteri Dalam Negeri, Peter Dutton namun kejayaan tidak meyakinkan itu mendedahkannya kepada cabaran lain. Dutton menggesa undian kedua diadakan.

Menteri Kewangan, Mathias Cornmann, penyokong utama kabinet Turnbull yang menawarkan peletakan jawatan berkata, beliau percaya Dutton adalah individu terbaik mengetuai kerajaan konservatif menjelang pilihan raya Mei 2019.

“Saya tidak dapat mengabaikan realiti. Saya tidak dapat mengabaikan hakikat majoriti rakan dalam Parti Liberal berpandangan perlu ada perubahan,” kata Cormann ketika mengumumkan menarik diri daripada menyokong Turnbull, menambah lima lagi menteri yang mengundi Turnbull kelmarin memaklumkan mereka berpaling tadah.

Turnbull kemungkinan tidak menyertai undian kepimpinan kedua, lapor media Australia hari ini, memberi jalan kepada ketua Perbendaharaan Australia, Scott Morrison sebagai pencabar mengejutkan untuk jawatan atasan itu.

Morrison menyokong Turnbull, namun dilaporkan sekian lama bercita-cita menjadi perdana menteri.

Siapa sahaja yang muncul sebagai Perdana Menteri Australia berikutnya, akan memegang jawatan ketujuh dalam tempoh sedekad.

Dengan kepimpinan Liberal dalam keadaan tidak menentu, kerajaan menggantung parlimen dewan rendah sehingga 10 September ini.

Penangguhan itu membolehkan Liberal diberi masa menyelesaikan krisis kepimpinan tanpa berisiko secara terbuka merosakkan jabatan kerajaan dalam parlimen. Ia juga membolehkan Morrison masa untuk mengumpul sokongan sebelum undian.

“Australia tidak lagi memiliki sebuah kerajaan berfungsi,” kata pemimpin pembangkang Buruh, Bill Shorten kepada parlimen.

Turnbull berkuasa dalam satu rampasan bilik parti pada September 2015 daripada bekas Perdana Menteri Tony Abbott, yang turut terselamat dalam satu pertandingan kepimpinan dalaman sebelum kekalahan muktamad. -Reuters

Berita Harian X