Selasa, 21 Ogos 2018 | 9:01am
Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull. - Foto EPA
Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull. - Foto EPA

PM Australia selamat daripada penyingkiran

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, kekal memimpin Parti Liberal selepas menewaskan pencabarnya, Menteri Dalam Negeri Peter Dutton, dalam pengundian hari ini, kata pegawai kerajaan.

Undian dibuat susulan spekulasi beberapa minggu dan penurunan sokongan tinjauan pendapat.

Turnbull menang undian kepemimpinan Parti Liberal, parti kanan dalam gabungan kerajaan, mengatasi Dutton dengan 48 undi menyokong berbanding 35 diperoleh pencabarnya, kata ketua whip kerajaan, Nola Marino.

Turnbull mengisytiharkan kepemimpinan kerajaan terbuka awal hari ini di sebalik pemberontakan dalaman ketika tinjauan pendapat menunjukkan kerajaan akan ditewaskan oleh Parti Buruh pada pilihan raya tahun depan.

Kedudukan Turnbull kekal dalam bahaya walaupun berjaya mengatasi cabaran kepemimpinan Dutton.

“Kami sudah kerap menyaksikannya dalam politik Australia, tindakan menyingkirkan Perdana Menteri, dan memandangkan perbezaan tipis undian, pasti ada lagi,” kata profesor sains politik di Universiti Flinders di South Australia, Haydon Manning.

Dutton, yang memperoleh sokongan kumpulan berhaluan kanan dalam parti itu, meletak jawatan daripada Kabinet selepas tewas, lapor Sky News. — Reuters

Berita Harian X