Selasa, 31 Julai 2018 | 6:11pm
Gambar satelit diambil Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) beberapa minggu lalu mendapati Korea Utara masih membangunkan peluru berpandu baharu.
Gambar satelit diambil Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) beberapa minggu lalu mendapati Korea Utara masih membangunkan peluru berpandu baharu.

Korea Utara bangunkan ICBM baharu: laporan

WASHINGTON: Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) mendapati Korea Utara masih membangunkan peluru berpandu baharu, berdasarkan gambar satelit diambil beberapa minggu lalu dan bukti baharu lain.

Akhbar Washington Post memetik pegawai yang rapat dengan perisikan melaporkan semalam, hanya beberapa minggu selepas sidang kemuncak berkepentingan tinggi antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, Pyongyang jelas membangunkan sekurang-kurangnya satu atau dua peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) berasaskan bahan api cecair.

Kerja pembinaan itu dilakukan di sebuah kilang di luar Pyongyang di Sanumdong untuk menghasilkan ICBM pertama Korea Utara yang berupaya sampai ke AS.

Susulan pertemuan di Singapura Jun lalu, Trump mengisytiharkan Pyongyang 'tidak lagi satu ancaman nuklear' dan berbangga dengan pencapaian diplomatiknya.

Namun Jong-un tidak berjanji secara terbuka menamatkan kerja di kemudahan nuklear dan peluru berpandu negara itu, sebaliknya proses gencatan senjata.

Laporan pembinaan peluru berpandu baharu itu susulan keterangan Setiausaha Negara Mike Pompeo minggu lalu di mana beliau memaklumkan senator, Pyongyang terus membuat bahan pembelahan nuklear, tanpa menunjukkan jika negara terasing itu membangunkan peluru berpandu baharu.

"Imej daripada Agensi Perisikan Geospatial Kebangsaan menunjukkan, kerja berterusan dilakukan ke atas sekurang-kurangnya satu ICBM Hwasong-15 di loji Sanumdong. Kami melihat mereka melakukan kerja sama seperti sebelumnya," kata seorang pegawai AS kepada the Post.

Namun di Stesen Pelancaran Satelit Sohae di pantai barat Korea Utara, pekerja dilihat menanggalkan sebuah tonggak enjin ujian, sejajar dengan janji dibuat kepada Trump dalam sidang kemuncak itu walaupun langkah itu dilihat lebih simbolik oleh kerana kemudahan itu dengan mudah dapat dibina semula.

Satu imej diambil 7 Julai lalu menunjukkan sebuah treler merah bertutup di kawasan memunggah, sama dengan kenderaan digunakan Pyongyang untuk mengangkut ICBM sebelum ini. -AFP

Berita Harian X