Ahad, 8 Julai 2018 | 8:35am
KAPAL pemusnah USS Benfold. - Foto AFP
KAPAL pemusnah USS Benfold. - Foto AFP

2 kapal pemusnah AS masuk Selat Taiwan

TAIPEI: Dua kapal perang Amerika Syarikat masuk ke Selat Taiwan semalam ketika hubungan antara Washington dan Beijing sedang berdepan ujian getir.

Kapal pemusnah USS Mustin dan USS Benfold belayar ke perairan yang memisahkan Taiwan dan China itu pagi semalam, kata kementerian pertahanan Taiwan mengesahkannya.

"Tentera memantau keadaan di kawasan berjiran, dan mempunyai keyakinan dan kebolehan untuk mengekalkan kestabilan serantau serta mempertahankan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap Angkatan Bersenjata Amerika Pasifik, Kapten Charlie Brown mengesahkan dua kapal itu sedang bergerak melalui selat berkenaan.

"Kapal Tentera Laut Amerika Syarikat sedang transit di antara Laut China Selatan dan Laut China Timur melalui Selat Taiwan dan ia adalah amalan biasa sejak bertahun-tahun lalu," katanya kepada AFP.

Namun, kapal perang itu masuk ke selat berkenaan ketika Washington dan Beijing berdepan kebuntuan dalam isu perdagangan menyebabkan ketegangan meningkat di antara Beijing dan Taipei.

Pada Jumaat lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melaksanakan 25 peratus tarif ke atas AS$34 bilion (RM137 bilion) barangan China yang disifatkan Beijing sebagai 'perang perdagangan terbesar' dalam sejarah ekonomi.

Beijing juga kurang senang dengan hubungan baik AS dan Taiwan, selepas Trump menandatangani undang-undang yang membuka ruang kepada lawatan bersama oleh pegawai tertinggi selain meluluskan lesen yang diperlukan untuk menjual teknologi kapal selam ke Taiwan. - AFP

Berita Harian X