Ahad, 3 Jun 2018 | 9:20pm
PESAWAT Israel mengebom lebih 12 sasaran pejuang Palestin di Gaza. - Foto AFP
PESAWAT Israel mengebom lebih 12 sasaran pejuang Palestin di Gaza. - Foto AFP

Israel, pejuang Palestin berbalas serangan

BANDARAYA GAZA: Pesawat Israel mengebom lebih 12 sasaran pejuang Palestin di Gaza, kata tentera hari ini, selepas bedilan roket pejuang menggagalkan gencatan senjata yang dicapai beberapa hari lalu selepas ketegangan paling buruk sejak perang 2014.

Ketegangan terbaru berlaku beberapa jam selepas ribuan penduduk Palestin menghadiri majlis pengebumian sukarelawan perubatan wanita yang terkorban akibat tembakan curi rejim Zionis di sempadan Gaza.

Dalam gelombang serangan udara pertama, jet pejuang Israel mensasarkan 10 lokasi pejuang di tiga kawasan milik Hamas di Semenanjung Gaza, kata tentera dalam kenyataan awal hari ini.

"Antara sasaran adalah dua kilang membuat peluru Hamas dan lokasi penyimpanan dan kawasan tentera," kata tentera.

Serangan dilancarkan bagi membalas dendam di atas serangan roket ke wilayah Israel, selain 'aktiviti pengganas yang didalangi Hamas hujung minggu lalu,' kata tentera.

Beberapa jam kemudian, pesawat membedil lima sasaran pejuang di kawasan tentera milik tentera laut Hamas di utara Semenanjung Gaza.

Tiada laporan kematian di Gaza susulan serangan itu. - AFP

Berita Harian X