Selasa, 29 Mei 2018 | 6:04pm
KEADAAN kedai yang musnah akibat ribut petir di sebahagian utara India.
KEADAAN kedai yang musnah akibat ribut petir di sebahagian utara India.

47 maut akibat ribut, petir di India

NEW DELHI: Ribut dan petir di sebahagian besar utara India meragut sekurang-kurangnya 47 nyawa, kata pegawai hari ini, angka kematian terbaru susulan cuaca buruk yang melanda negara itu bulan ini.

Pegawai pengurusan bencana di Uttar Pradesh, Bihar dan Jharkhand, berkata keseluruhannya 47 terbunuh dalam ribut tengah malam semalam di seluruh wilayah berkenaan.

Bihar paling teruk terjejas, dilanda angin kencang dan petir.

"Sekurang-kurangnya 19 orang disahkan mati, 11 daripadanya disambar petir," kata pegawai pengurusan bencana negeri, Yoginder Singh.

Cuaca buruk turut membadai Uttar Pradesh, dengan angin selaju 70 kilometer sejam melanda negeri paling padat di India itu.

"Lima belas maut akibat petir dan angin kencang," kata pegawai jabatan pengurusan bencana Uttar Pradesh, T P Gupta.

Sementara 10 lagi cedera, sebahagiannya terbakar selepas disambar petir, tambahnya.

Hampir 200 meninggal dunia di Uttar Pradesh bulan ini sahaja apabila angin kencang dan ribut pasir merobohkan tembok dan menumbangkan tiang elektrik.

Di Jharkhand, timur Bihar, 13 terbunuh dan enam cedera dalam cuaca buruk tengah malam, kata ketua jabatan pengurusan bencana negeri, Sushil Kumar. - AFP

Berita Harian X