Isnin, 28 Mei 2018 | 10:03pm

Pakistan halang bekas ketua perisik ke luar negara

ISLAMABAD: Tentera Pakistan hari ini mengambil langkah tidak pernah berlaku sebelum ini apabila menyekat seorang bekas ketua perisik daripada meninggalkan negara itu.

Tindakan itu dibuat selepas Leftenan Jeneral (B) Asad Durrani yang pernah mengetuai Perkhidmatan Perisikan Dalaman (ISI) dari 1990 hingga 1992, mencetuskan kemarahan apabila menulis bersama buku yang menyentuh peranan Pakistan di Afghanistan dan Kashmir.

Menurut jurucakap tentera, Durrani diletakkan dalam Senarai Kawalan Keluar (ECL) sekali gus melarangnya daripada meninggalkan negara itu.

Durrani dilingkari kontroversi sejak buku bertajuk 'The Spy Chronicles: RAW, ISI and the Illusion of Peace', diterbitkan minggu lalu.

Beliau menulis buku itu bersama A.S Dulat, yang mengetuai Sayap Penyelidikan dan Analisis agensi perisikan India, seteru utama ISI.

Buku itu berdasarkan siri perbincangan antara kedua-dua negara berkaitan pelbagai topik termasuk hubungan tegang dengan India dan dakwaan campur tangan Pakistan menerusi proksinya di Afghanistan dan Kashmir.

Amerika Syarikat (AS) sekian lama menuduh ISI, menyokong militan di Afghanistan, termasuk Taliban, namun dinafikan Islamabad. -AFP

Berita Harian X