X
Khamis, 17 Mei 2018 | 1:13pm
PEGUAM dan penduduk berarak sebagai sebahagian daripada langkah untuk mendapatkan permohonan maaf dan pampasan untuk mangsa. - Foto AFP
PEGUAM dan penduduk berarak sebagai sebahagian daripada langkah untuk mendapatkan permohonan maaf dan pampasan untuk mangsa. - Foto AFP

Paksa mandul, 3 saman kerajaan Jepun

TOKYO: Tiga individu yang dipaksa memandulkan dirinya mengikut undang-undang eugenik yang tidak lagi wujud di Jepun, menyaman kerajaan hari ini sebagai sebahagian daripada langkah untuk mendapatkan permohonan maaf dan pampasan untuk mangsa.

Undang-undang eugenik diperkenalkan kerajaan Jepun bertujuan untuk memperbaiki keturunan.

Saman yang difailkan di Tokyo dan beberapa tempat lain di Jepun itu dibuat selepas tindakan undang-undang yang diambil oleh seorang mangsa awal tahun ini.

"Saya berani ke depan dengan harapan lebih ramai mangsa lain yang menderita sejak berdekad lama, akan berani bersuara dan bangkit bersama saya menuntut keadilan, kata plaintif berusia 75 tahun itu.

Saburo Kita, dimandulkan ketika masih remaja. Selepas berkahwin, beliau tidak sanggup memberitahu isterinya dan hanya berbuat demikian sebelum kematian isterinya pada 2013.

Kita menuntut pampasan 30 juta yen (RM1 juta) daripada kerajaan, kata peguamnya Naoto Sekiya.

Selain Kita, dua lagi mangsa masing-masing dari wilayah Sendai dan utara Hokkaido akan memfailkan saman hari ini.

Jerman dan Sweden mempunyai undang-undang eugenik yang sama dan kerajaan ini sudah memohon maaf dan membayar pampasan kepada mangsa.

Mengikut undang-undang eugenik Jepun, sebahagian pesakit kusta juga dipaksa menggugurkan kandungan kerana polisi yang tidak membenarkan mereka mempunyai anak.

Buat kali pertama pada 2005, sebuah mahkamah di Jepun mengarahkan kerajaan membayar pampasan kepada seorang individu penghidap kusta yang terjejas dengan undang-undang itu. - AFP

Berita Harian X