Isnin, 14 Mei 2018 | 4:56pm

86 maut akibat ribut di India

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 86 maut, manakala lebih 100 cedera apabila taufan dan ribut pasir melanda kawasan utara, timur dan selatan India, semalam.

Menurut agensi pengurusan bencana persekutuan dan negeri, angin dengan kelajuan lebih 100 kilometer sejam itu menyebabkan pokok tumbang, memutuskan bekalan elektrik dan memusnahkan kediaman.

"Seramai 40 maut selepas ribut taufan memusnahkan dinding bangunan, pokok dan kabel elektrik di Uttar Pradesh," kata jurucakap jabatan pengurusan bencana negeri, T P Gupta kepada AFP.

Selain itu, 80 lagi mangsa disahkan cedera apabila angin kencang meranapkan hampir 40 kediaman di seluruh India.

Baki 40 mangsa disahkan maut, semalam, selepas ribut taufan melanda barat Bengal, manakala 12 lagi akibat dipanah petir di Andhra Pradesh.

Dalam pada itu, angin kencang turut memaksa Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi ditutup selama dua jam, manakala 70 penerbangan terpaksa dilencongkan. - AFP

Berita Harian X