Isnin, 14 Mei 2018 | 1:18pm
PERMINTAAN untuk hartanah di bandar kecil dan kawasan tidak ramai penduduk di luar bandar sekitar Zon Bebas Tentera (DMZ), meningkat berikutan jangkaan kemasukan penduduk dan pelaburan. - Reuters
PERMINTAAN untuk hartanah di bandar kecil dan kawasan tidak ramai penduduk di luar bandar sekitar Zon Bebas Tentera (DMZ), meningkat berikutan jangkaan kemasukan penduduk dan pelaburan. - Reuters

Rakyat Korea Selatan berlumba beli hartanah sekitar DMZ

SEOUL: Lupakan daerah mewah Gangnam di ibu kota Korea Selatan di sini. Berikutan ikrar Korea Utara untuk mengurangkan ketegangan dan memperbaharui hubungan dengan jirannya di selatan, pasaran hartanah panas Korea Selatan kini tertumpu di sepanjang sempadan dikawal ketat antara dua negara.

Permintaan untuk hartanah di bandar kecil dan kawasan tidak ramai penduduk di luar bandar sekitar Zon Bebas Tentera (DMZ), meningkat berikutan jangkaan kemasukan penduduk dan pelaburan.

Kang Sung-wook, 37, doktor gigi di bandar sempadan Korea Selatan di Paju, membeli lapan lot tanah berasingan di dalam dan sekitar DMZ sejak pertengahan Mac lalu.

Lima daripadanya dibeli tanpa pernah menjejakkan kaki ke situ, hanya menggunakan gambar satelit Google Earth dan peta oleh kerana kawasan dalam DMZ tidak boleh dimasuki orang awam.

Sung-wook berkata, kadar faedah jualan meningkat mendadak ketika hubungan antara bekas seteru itu pulih dan beliau perlu bertindak pantas.

"Saya mencari tanah untuk dibeli sejak sidang kemuncak Korea Utara-Amerika Syarikat (AS) diumum Mac lalu dan kelihatan yang bagus sudah habis.

"Saya sedar pasaran hartanah ketika itu sedang panas," katanya.

Pelaburannya di sepanjang sempadan kini berjumlah 3 bilion won (RM11.05 juta) untuk 20 hektar tanah.

Selama berdekad, DMZ memiliki kawasan tarikan berbeza, persekitaran yang kadang kala menyaksikan provokasi tentera dan pembelotan berani dari Korea Utara.

Zon itu, ditandai dengan pos pengawal dan dilingkari kawat duri diwujudkan selepas Perang Korea 1950-53 yang mana secara teknikal kedua-dua negara masih berperang.

Lebih sejuta periuk api dipasang di kawasan sempadan termasuk DMZ dan Zon Kawalan Awam di Korea Selatan, kata Jeo In-cheol, pakar periuk api di Rangkaian Pemuliharaan Taman Negara.

Namun ketika akses kepada orang awam disekat, kawasan tanah dalam lingkungan dua kilometer lebar di sebelah Korea Selatan DMZ dan kawasan sempadan lain masih boleh dibeli dan didaftarkan.

Urus niaga pembelian tanah di Paju, pintu masuk ke perkampungan perdamaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Panmunjom, lebih dua kali ganda Mac lalu kepada 4,628 sejak Februari, data kerajaan menunjukkan.

Seorang broker hartanah dengan 25 tahun pengalaman di Paju, Kim Yoon-sik, berkata, pemilik tanah dalam DMZ termasuk mereka yang mewarisi tanah pertanian daripada nenek moyang sebelum perang praKorea dan sesetengahnya adalah pelabur jangka panjang. -Reuters

Berita Harian X