Khamis, 3 Mei 2018 | 8:24pm
China telah membina beberapa pulau buatanbagi memasang peluru berpandu barunya di kepulauan Spratly.
China telah membina beberapa pulau buatanbagi memasang peluru berpandu barunya di kepulauan Spratly.

Beijing enggan sahkan bina pertahanan di Laut China Selatan

BEIJING: China, hari ini menegaskan lagi haknya untuk membina kemudahan 'pertahanan' di Laut China Selatan yang menjadi rebutan, tetapi enggan mengesahkan laporan ia memasang peluru berpandu baru di pulau buatan yang dibinanya di wilayah itu.

Tentera China memasang sistem pertahanan anti-kapal dan peluru berpandu di pangkalan luar yang juga dituntut Vietnam dan Filipina sejak 30 hari lalu, lapor stesen CNBC Amerika Syarikat (AS), memetik sumber yang rapat dengan perisikan AS.

Jika maklumat disahkan, ia boleh mencetuskan ketegangan baru antara negara bersempadan dengan wilayah maritim penting itu.

Pada taklimat biasa hari ini, jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying, tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu.

"Pembangunan aman yang dilakukan China di kepulauan Spratly, termasuk pemasangan kemudahan pertahanan kebangsaan penting, bertujuan melindungi kedaulatan dan keselamatan China.

"Mereka yang tidak berhasrat melanggar kedaulatan kami, tiada sebab untuk berasa bimbang," katanya.

Isu Laut China Selatan berlanjutan sekian lama, dengan China, Filipina, Brunei, Malaysia dan Vietnam membuat tuntutan di perairan yang menjadi laluan perkapalan penting global dan dipercayai kaya dengan minyak dan gas asli.

Berita Harian X