Jumaat, 27 April 2018 | 9:55pm

7 pelajar maut, serangan pisau di China

BEIJING: Seorang lelaki bersenjatakan pisau membunuh tujuh pelajar sekolah menengah dan mencederakan 19 lain dalam perjalanan pulang ke rumah di utara China hari ini.

Suspek ditahan manakala kanak-kanak yang cedera sedang dirawat, kata jabatan propaganda daerah Mizhi di wilayah Shaanxi dalam akaun media sosial rasminya.

Insiden berlaku kira-kira jam 6.10 petang waktu tempatan kata jabatan itu, tanpa memberikan butiran lanjut.

Usia kanak-kanak terbabit tidak dinyatakan namun pelajar sekolah menengah rendah lazimnya berusia antara 12 hingga 15 tahun di China.

Serangan pisau biasa berlaku di negara itu. Februari lalu seorang lelaki bersenjatakan pisau membunuh seorang wanita dan mencederakan 12 lain kerana dendam dalam pusat beli-belah sibuk di ibu kota ini.

Tahun lalu, seorang lelaki bersenjatakan pisau membunuh dua orang dan mencederakan sembilan lain di sebuah pasar raya di Shenzhen, selatan China.

Manakala pada Januari 2017, seorang lelaki mencederakan 11 kanak-kanak menggunakan pisau di tadika di wilayah autonomi Guangxi Zhuang. -AFP

Berita Harian X