Jumaat, 20 April 2018 | 1:26pm
LAPANGAN Terbang Antarabangsa di Kathmandu terpaksa ditutup hari ini selepas sebuah pesawat dari Malaysia yang membawa 139 penumpang terbabas semasa mahu berlepas. - Foto Reuters
LAPANGAN Terbang Antarabangsa di Kathmandu terpaksa ditutup hari ini selepas sebuah pesawat dari Malaysia yang membawa 139 penumpang terbabas semasa mahu berlepas. - Foto Reuters
ORANG ramai berkumpul berhampiran sebuah pesawat milik Malindo Airlines yang terbabas semasa mahu berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa di Kathmandu, Nepal. - Foto Reuters
ORANG ramai berkumpul berhampiran sebuah pesawat milik Malindo Airlines yang terbabas semasa mahu berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa di Kathmandu, Nepal. - Foto Reuters

Pesawat Malindo Airlines terbabas di Nepal

KATHMANDU: Lapangan Terbang Antarabangsa di Kathmandu terpaksa ditutup hari ini selepas sebuah pesawat Malaysia yang membawa 139 penumpang terbabas semasa mahu berlepas.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu namun semua penerbangan menghala ke ibu negara Nepal itu terpaksa mengubah haluan sementara pihak berkuasa cuba mengalihkan pesawat Boeing 737 milik Malindo Airlines yang tersekat di dalam lumpur.

Sehingga kini tiada maklumat terkini diterima berhubung tempoh penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan itu.

Jurucakap lapangan terbang terbabit, Prem Nath Thakur, berkata pesawat ke Kuala Lumpur itu sedang bergerak laju di landasan lewat malam tadi apabila juruterbang mengesan masalah teknikal dan membatalkan pelepasan.

Pesawat berkenaan terbabas ke bahagian berumput dan tersekat di dalam lumpur kira-kira 30 meter dari landasan.

"Semua yang berada dalam pesawat itu selamat," kata Thakur sambil menambah punca masalah masih belum diketahui.

Insiden terbabit berlaku sebulan selepas tragedi pesawat US-Bangla Airways yang terhempas dan meragut 51 nyawa di lapangan terbang itu.

Pada Mac 2015, sebuah pesawat milik Turkish Airlines terbabas di landasan ketika mahu mendarat, menyebabkan lapangan terbang berkenaan terpaksa ditutup selama empat hari.

Negara Himalaya itu memiliki salah satu landasan paling terpencil dan sukar di dunia, satu cabaran besar walaupun kepada juruterbang berpengalaman.

Nepal turut memiliki rekod keselamatan udara yang buruk dan penerbangan dari syarikat berpangkalan di Nepal dilarang melakukan perjalanan di ruang udara negara-negara Kesatuan Eropah. - AFP

Berita Harian X