Khamis, 19 April 2018 | 9:47pm
Dalam foto 25 September ini yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Xinhua, pejuang Angkatan Tentera China Tentera Pembebasan Rakyat Su-30, kanan, terbang bersama pengebom H-6K ketika mereka mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan berhampiran Laut China Timur. - Foto AFP
Dalam foto 25 September ini yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Xinhua, pejuang Angkatan Tentera China Tentera Pembebasan Rakyat Su-30, kanan, terbang bersama pengebom H-6K ketika mereka mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan berhampiran Laut China Timur. - Foto AFP

China lancar latihan tentera sekitar Taiwan

BEIJING: Pesawat pengebom dan pengintip milik China dilaporkan terbang di sekitar Taiwan, hari ini, dan Taipei meramalkan ia bakal meningkatkan ketegangan di wilayah berkenaan.

Tentera udara China dalam satu kenyataan di laman sosial miliknya, berkata pihaknya meningkatkan rondaan di kawasan itu, termasuk membabitkan pesawat pengebom H-6K.

"Kami yakin mampu menghadapi cabaran, kerana tanah air ini sentiasa berada di dalam hati, dan pulau ini adalah sebahagian daripada tanah air ini," kata kapten H-6K, Zhai Peisong, yang merujuk kepada Taiwan.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Hal-Ehwal Taiwan, Ma Xiaoguang, berkata tindakan itu adalah satu amaran kepada mana-mana pihak yang mendesak untuk kemerdekaan Taiwan.

Kementerian Pertahanan Taiwan, berkata kehadiran pelbagai pesawat milik China, termasuk pengebom dan peninjau boleh dilihat di Selat Miyako berhampiran pulau Okinawa di selatan Jepun, menuju ke barat Lautan Pasifik sebelum kembali ke pangkalan di Bashi Channel di selatan Taiwan.

"China dengan sengaja memanipulasi (latihan) untuk memberi tekanan dan memalukan Taiwan dalam cubaan mereka untuk mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara dan di wilayah ini.

"Kami tidak akan tunduk kepada mana-mana usaha atau ancaman ketenteraan," kata pegawai Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan, Chiu Chui-cheng dalam satu taklimat harian. - AFP

Berita Harian X