Sabtu, 17 March 2018 | 7:34am
Bekas calon Presiden Amerika Syarikat, Hillary Clinton sempat singgah di hadapan tugu Hindola Mahal, dalam perjalanan beliau ke bandar Mandu di kota Madhya Pradesh, India. - Foto AFP
Bekas calon Presiden Amerika Syarikat, Hillary Clinton sempat singgah di hadapan tugu Hindola Mahal, dalam perjalanan beliau ke bandar Mandu di kota Madhya Pradesh, India. - Foto AFP

Hillary Clinton retak tangan

NEW DELHI: Hillary Clinton mengalami retak tangan ketika melawat India, dilaporkan akibat tergelincir dalam tab mandi di sebuah hotel mewah bekas istana.

Seorang doktor di Hospital Goyal milik swasta memberitahu AFP semalam, Clinton menjalani imbasan selepas mengalami kesakitan pada tangan kanan susulan terjatuh.

Bekas calon presiden berusia 70 tahun itu menginap di Umaid Bhawan, istana bekas keluarga diraja di Jodhpur, di barat Rajasthan, kini dijadikan hotel mewah.

"Kami menjalankan imbasan CT (tomografi berkomputer) dan sinar-X serta mendapati ada retak di sekitar pergelangan tangan. Beliau dinasihatkan berehat selama beberapa hari dan menggunakan pembalut untuk sokongan," kata pegawai perubatan yang enggan dikenali.

Media tempatan dan antarabangsa memetik sumber tidak dinamakan sebagai berkata, kejadian Clinton tergelincir ketika mandi itu berlaku lima bulan selepas beliau patah jari kaki ketika berada di London.

Beliau berada di India untuk mempromosi bukunya, 'What Happened' yang menceritakan kisah dirinya kalah dalam pilihan raya presiden kepada Donald Trump.

Beberapa hari sebelumnya, rakaman video muncul menunjukkan Clinton tersandung pada tangga tidak rata tugu kurun ke-13 India sambil memegang lengan seorang pembantunya. -AFP

Berita Harian X