Jumaat, 23 Februari 2018 | 2:05pm
PENGEBOMAN terbaharu di Timur Ghouta membunuh puluhan nyawa hari ini, menjadikan orang awam yang terkorban dalam serangan sejak lima hari lalu oleh Kerajaan Syria itu meningkat kepada lebih 400 orang.- Foto EPA
PENGEBOMAN terbaharu di Timur Ghouta membunuh puluhan nyawa hari ini, menjadikan orang awam yang terkorban dalam serangan sejak lima hari lalu oleh Kerajaan Syria itu meningkat kepada lebih 400 orang.- Foto EPA

400 maut serangan di Syria

DOUMA, Syria: Pengeboman terbaharu di Timur Ghouta membunuh puluhan nyawa hari ini, menjadikan orang awam yang terkorban dalam serangan sejak lima hari lalu oleh Kerajaan Syria itu meningkat kepada lebih 400 orang.

Rejim menyokong Russia berkata, setakat ini tiada sebarang perjanjian dimeterai dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung gencatan senjata selama 30 hari di Syria.

Selain itu, tiada sebarang pindaan draf resolusi dikemukakan yang membenarkan penghantaran bantuan dan pemindahan orang awam dari wilayah terkepung Timur Ghouta berkenaan.

Ketika diplomat memandang remeh proses undian di UNSC yang mungkin dilakukan hari ini, orang awam menyembunyikan diri di bawah tanah ketika tentera kerajaan terus menyerang wilayah berkenaan dengan roket dan bom yang menyebabkan kemusnahan bandar serta hospital.

Kumpulan Doktor Bantuan Tanpa Sempadan memberitahu 13 kemudahan bagi membantu Timur Ghouta musnah dan rosak dalam masa tiga hari, sekali gus memberikan cabaran kepada kakitangannya untuk menyelamatkan ratusan mangsa cedera, setiap hari.

Di rumah mayat di Douma, bandar utama di daerah di sebelah timur Damsyik, mayat berbalut kain kafan disusun berbaris di lantai, termasuk dua daripadanya adalah kanak-kanak.

"Selama lima hari rejim dan sekutunya Russia mengatur serangan udara serta membedil daerah itu dengan meriam mengakibatkan 403 orang awam terkorban, termasuk 95 kanak-kanak," kata Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Hujan pada pagi hari semalam, menangguhkan seketika operasi jet pejuang, namun sebaik cuaca kembali cerah pada tengah hari, jet berkenaan yang sebahagiannya milik Russia menurut Pemerhati, kembali melakukan serangan.

Setakat ini, Russia menafikan pembabitannya dalam serangan di Ghouta, namun akhbar pro kerajaan Syria, Al-Watan semalam melaporkan, jet pejuang Russia kembali ke medan tempur.

Amerika Syarikat semalam, mendakwa Russia bertanggungjawab terhadap kematian orang awam di Syria.

"Tanpa sokongan Russia, kemusnahan dan kematian tidak berlaku," kata jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert kepada pemberita.

Rejim dan sekutunya bertanggungjawab terhadap kekacauan di daerah berkenaan yang mengakibatkan hampir 400,000 kehilangan nyawa, dalam tindakan kononnya untuk menghapuskan kumpulan jihad dan militan Islam. - AFP

Berita Harian X