Isnin, 15 Januari 2018 | 8:05pm
PASUKAN tentera India berkawal di Srinagar.- Foto AFP
PASUKAN tentera India berkawal di Srinagar.- Foto AFP

9 maut tentera Pakistan, India bertempur

SRINAGAR: Sekurang-kurangnya sembilan orang, termasuk empat tentera Pakistan terbunuh dalam satu pertempuran di sini.

Tentera Pakistan berkata, empat tenteranya dan tiga tentera India terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan di sepanjang sempadan Line of Control (LoC).

India menafikan tenteranya terkorban, tetapi mengesahkan mereka membunuh lima anggota militan yang cuba menyeberang sempadan LoC dalam dua insiden berasingan di Uri, kira-kira 100 kilometer ke barat laut Srinagar.

"Ketika malam kejadian, sekumpulan militan yang menyusup diserang oleh tentera menyebabkan berlaku berbalas tembakan yang sengit dan lima militan terbunuh," kata Penguasa Polis India, Imtiyaz Hussain.

Imtiyaz berkata, beberapa anggota militan itu dipercayai anggota dari kumpulan Jaish-e-Mohammad (JeM), yang berpangkalan di Pakistan.

Kumpulan itu didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan di Kashmir yang dikendalikan India beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk ketika pada malam Tahun Baharu hingga mengorbankan empat anggota separa tentera. - AFP

Berita Harian X