Isnin, 1 Januari 2018 | 7:20pm
SEORANG pelajar berdepan dengan anggota polis anti rusuhan dalam bantahan anti kerajaan berhampiran Universiti Tehran di Iran. - Foto EPA
SEORANG pelajar berdepan dengan anggota polis anti rusuhan dalam bantahan anti kerajaan berhampiran Universiti Tehran di Iran. - Foto EPA

10 maut bantahan jalanan di Iran

TEHRAN: Kira-kira 10 maut dalam tunjuk perasaan jalanan di beberapa lokasi di Iran semalam, lapor stesen televisyen tempatan hari ini tanpa memberi butiran lanjut.

Rakaman terbabit turut memaparkan kerosakan akibat bantahan anti kerajaan, masuk malam keempat berturut-turut.

"Susulan bantahan malam tadi, malangnya kira-kira 10 orang terbunuh di beberapa bandar," katanya.

Kejadian itu berlaku walaupun gesaan Presiden Hasan Rouhani supaya penduduk bertenang, berikrar 'lebih banyak ruang kritikan' dalam cubaan meredakan bantahan sejak beberapa hari lalu.

Seorang pembuat dasar tempatan berkata, dua orang ditembak mati di bandar barat daya Izeh, ketika video di media sosial menunjukkan bantahan masuk malam keempat berturut-turut di banyak kawasan seluruh negara.

"Penduduk Izeh, seperti mana bandar lain mengadakan bantahan berhubung masalah ekonomi, namun malangnya ia menjurus pembunuhan dua orang dan mencederakan beberapa lain," kata Ahli Parlimen Izeh, Hedayatollah Khademi, namun tidak pasti siapa yang melepaskan tembakan.

Penyiar tempatan berkata, dua lagi maut di pekan barat kecil di Dorud apabila dilanggar jentera bomba yang dicuri penunjuk perasaan dengan agensi ILNA melaporkan, sekolah agama dan bangunan kerajaan dibakar di bandar barat laut di Takestan. - Reuters/AFP

Berita Harian X