Ahad, 24 Disember 2017 | 7:49am
KEADAAN di Selatan Filipina dari pandangan udara selepas dilanda ribut tropika Tembin menyebabkan puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman. - Foto AFP
KEADAAN di Selatan Filipina dari pandangan udara selepas dilanda ribut tropika Tembin menyebabkan puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman. - Foto AFP

Korban ribut Tembin cecah 182 orang

MANILA: Sekurang-kurangnya 182 orang disahkan maut selepas ribut tropika Tembin melanda selatan Filipina sehingga memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata, lebih 70,000 penduduk Mindanao sudah dipindahkan susulan banjir kilat yang membawa lumpur melanda pulau berkenaan.

"Penduduk terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang," kata Pengurus Operasi dan Program IFRC Filipina, Patrick Elliott dalam satu kenyataan.

Jurucakap polis berkata, 153 penduduk dilaporkan masih hilang, manakala lebih 40,000 sudah ditempatkan di kem penempatan sementara.

SEBAHAGIAN penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas dilanda ribut tropika Tembin. - Foto AFP
SEBAHAGIAN penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas dilanda ribut tropika Tembin. - Foto AFP

Katanya, anggota polis, tentera dan sukarelawan terpaksa menggunakan penyodok untuk mencari mangsa yang tertimbus di bawah lumpur dan serpihan bangunan serta pokok di sebuah kampung di Dalama.

"Paras air sungai semakin meningkat dan ada rumah yang dihanyutkan arus," kata pegawai polis, Gerry Parami, dalam perbualan telefon dengan AFP ketika dihubungi di Lanao del Norte, antara kawasan yang terjejas teruk akibat Tembin.

Menurut perkhidmatan cuaca, ribut itu turut melanda pulau Balabac di barat Filipina, yang dihuni 40,000 penduduk dengan angin selaju 145 kilometer sejam.

Filipina turut dilanda ribut tropika Kai-Tak baru-baru ini yang mengorbankan 54 mangsa, sementara 24 lagi dilaporkan hilang.

"Amat malang kerana satu lagi ribut tropika melanda negara in dan ia berlaku menjelang sambutan Krismas," kata jurucakap Presiden Rodrigo Duterte, Harry Roque dalam satu kenyataan. - AFP

Berita Harian X